Selasa, 12 Mac 2013

Didakwa Atas Tuduhan Miliki Dan Guna Dadah

Gambar Hiasan

MIRI: Seorang lelaki warga British didenda RM8,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini pagi semalam atas empat tuduhan iaitu masing-masing dua tuduhan memiliki dan menggunakan dadah berbahaya.

Hukuman itu dijatuhkan Penolong Kanan Pendaftar Mohd Redza Azhar Rezali setelah menimbangkan beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukan tertuduh serta mengambil kira kepentingan awam.

Adam Richard Harbottle, 39, dari Bandar Baharu Permyjaya di sini telah didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama serta Seksyen 6 ADB 1952 dan dihukum di bawah seksyen yang sama.

Bagi kesalahan pertama, tertuduh boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-dua sekali.

Manakala bagi kesalahan kedua, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes pada tuduhan pertama, tertuduh didapati ada memiliki dadah jenis methamphetamine (syabu) seberat 2.07 gram (berat kasar) yang terkandung dalam Bahagian 111 Jadual Pertama ADB 1952 (semakan 2001).

Sementara dalam tuduhan kedua, tertuduh sebagai seorang yang bukan diberi kuasa sah di bawah ADB 1952, didapati ada memiliki dadah berbahaya jenis ganja seberat 1.47 gram.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 7.30 malam, 5 Januari lalu di Lorong 8, hadapan Blok 7234 Permyjaya di sini.

Selain itu, tertuduh turut menghadapi dua lagi tuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 kerana kesalahan mengambil dadah berbahaya jenis methamphetamine (syabu) dan methylenedioxymethamphetamine (MDMA) yang terkandung dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukan bahan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8.45 malam, 5 Januari lalu di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di sini.

Dalam rayuan yang dibuat melalui peguam belanya, tertuduh yang berkahwin dengan seorang wanita tempatan dan dikurniakan tiga anak berusia antara 18 bulan hingga 16 tahun merayu hukuman yang ringan serta minta diberi peluang kedua untuk memulakan kehidupan baharu.

Tertuduh yang telah tinggal di negeri ini lebih 16 tahun memberitahu bahawa dia amat menyesal dengan kesalahan yang dilakukan dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan