Selasa, 12 Mac 2013

Rumah Ranap Angkara Kanak-Kanak Main Api


LIMBANG: Padah enggan mendengar nasihat ibu, sebuah keluarga terpaksa tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman yang diduduki lebih 30 tahun lalu ranap dalam kebakaran di Taman Pertama, Jalan Kubong di sini kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, sebuah rumah dua tingkat musnah terbakar menyebabkan pemiliknya tidak sempat menyelamatkan harta benda dan beberapa dokumen penting.

Menurut sumber, kejadian itu dipercayai berpunca daripada kenakalan salah seorang anak lelaki keluarga terbabit yang bermain api di bahagian stor.

Menurut mereka, sebelum kejadian kanak-kanak yang berusia lapan tahun itu asyik bermain api walaupun sudah ditegur oleh ibunya yang sedang berkebun di belakang rumah.

“Anak lelaki tersebut memang dikenali dengan kenakalannya dalam kalangan jirannya sebelum ini. Akibat kenakalannya itu menyebabkan keluarga terbabit terpaksa menanggung padah apabila rumah yang didiami selama ini terbakar sekelip mata dalam kebakaran itu,” kata sumber itu.

Sementara itu, Ketua Bomba Zon Limbang Anuar Shazad Merdzuki berkata kebakaran bermula di bahagian stor tingkat bawah rumah terbabit.

“Kami masih menyiasat punca sebenar kejadian termasuk menyiasat jenis bahan api yang digunakan sebelum merebak ke bahagian rumah tersebut. Kebakaran tersebut turut menyebabkan mangsa mengalami kerugian berjumlah RM200,000,” katanya.

Anuar memberitahu, seramai 12 anggota bomba diketuai oleh beliau sendiri turut bergegas ke tempat kejadian bersama tiga jentera selepas menerima panggilan pada jam 06.08 petang dan operasi memadam dimulakan tujuh minit kemudiannya.

“Operasi memadam kebakaran ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.50 petang,” katanya. Turut sama dalam operasi itu Ketua Balai Bomba Limbang Awang Mohamad Farbu Abdul Hamid.

Beliau memberitahu, sebanyak 12 kes kebakaran dilaporkan berlaku awal tahun ini termasuk kebakaran kelmarin melibatkan daerah Limbang dan Lawas.

Anuar turut mengingatkan orang ramai termasuk ibu bapa memantau anak-anak mereka agar tidak bermain api termasuk menggunakan bahan dan peralatan yang berbahaya.

“Orang ramai tidak seharusnya memandang remeh mengenai aspek keselamatan, ini penting bagi mengelak daripada berlakunya kebakaran,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan