Selasa, 5 Mac 2013

Michael Perwira Sarawak


SERIAN: Berdoa untuk saya, itu pesanan terakhir Mendiang ASP Michael Padel, 36, kepada rakan-rakan serta anggota keluarganya yang berada di kampung halaman, Kampung Tebakang Bidayuh sebelum berangkat ke Semporna, Sabah untuk bertugas.

Mendiang merupakan antara yang terkorban dalam pertempuran di Kampung Seri Simunul di Semporna pada Sabtu lepas, mening-galkan balu Jabah Mingku, 34, dan seorang anak lelaki Maxluei, 11.

“Mendiang menghubungi saya pada Rabu lepas sebelum berangkat bertugas ke Semporna dan telah meminta saya berdoa untuk keselamatannya ketika berada di sana.

“Tanpa disangka, saya bersama anggota keluarga lain menerima khabar mengejutkan petang kelmarin bahawa dia telah meninggalkan kami selama-lamanya,” kata abang ipar mendiang, Casimir Francis, 46, ketika ditemu bual semalam.

Michael merupakan satu-satunya anak lelaki dan juga bongsu daripada tiga beradik, selain Vivian, 42, dan Collet, 39. Mendiang kehilangan ayah sejak kecil, yang meningal dunia akibat kanser pada 1983 dan hanya dibesarkan oleh ibunya, Elizabeth Inat Rau, 62.

Pemergian mendiang amat dirasai ibunya, Elizabeth yang kali terakhir menatap wajah anak kesayangannya itu pada sambutan Gawai tahun lepas. Namun dia reda menerima kenyataan sedemikian dan mendoa-kan agar roh mendiang dirahmati Tuhan.

“Kasihan, dia anak yang saya sayang…mendiang merupakan anak yang peramah dan bertanggungjawab. Walaupun bertugas jauh dan sudah berkeluarga, mendiang tidak pernah melupakan tanggungjawab untuk menyara saya dan keluarga dengan sering mengirimkan wang perbelanjaan,” 

“Pada hujung bulan Februari lepas merupakan kali terakhir dia menghubungi saya bagi bertanyakan khabar dan turut mengirimkan ubat asma kepada saya dengan harapan agar asma saya cepat hilang,” katanya.

Kunjungan ke kediaman keluarga mendiang di Kampung Tebakang Bidayuh, semalam mendapati ahli-ahli keluarga, saudara-mara serta rakan dan penduduk kampung sudah berkumpul bagi menunggu ketibaan mayatnya.

Turut berada di situ ialah bapa dan ibu mertua mendiang, Mingku Sitam, 56, dan Mai Gunong, 50, yang berasal dari Simunjan.

Menurut Mingku, mendiang merupakan menantu yang baik, peramah dan bertanggungjawab.

“Saya amat sedih dengan pemergiannya tapi apa boleh buat, dia berkorban demi negara. Saya menunggu berjumpanya lagi pada Gawai tahun ini setelah berjumpa pada Gawai tahun lepas, namun apakan daya, Tuhan lebih menyayanginya,” katanya.

Mendiang Michael lahir pada 5 Februari 1977 dan meninggal dunia pada 2 Mac dengan upacara pengebumiannya dijangka diada-kan esok.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan