Selasa, 5 Mac 2013

Tuduhan Insiden Di Lahad Datu Konspirasi BN Fitnah Tidak Berasas

Tian Chua

KUCHING: Sudah tiba masanya untuk rakyat menunjukkan taat setia kepada negara tanpa mengira fahaman politik dan pendirian demi kedaulatan Malaysia, tegas Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau memberitahu, tuduhan yang dibuat pihak pembangkang bahawa insiden yang berlaku di Lahad Datu, Sabah merupakan satu konspirasi Barisan Nasional (BN) adalah fitnah yang tidak berasas.

Malah, Wan Junaidi menyifatkan perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu adalah satu penderhakaan terhadap kedaulatan negara.

“Tuduhan sedemikian adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab, bodoh dan tidak logik. BN mahu menghadapi pilihan raya dalam keadaan aman dan baik kenapa nak cetuskan suasana hura-hara?

“Membuat tuduhan melulu adalah fitnah, tidak bertanggungjawab kerana apa yang berlaku adalah pence-robohan terhadap negara dan mana-mana orang dengan perbuatan atau perkataan menaikkan semangat pencerobohan itu adalah penderhaka,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) ketika diminta mengulas mengenai tuduhan yang dibuat oleh pihak pembangkang berkaitan insiden tersebut.

“Mengkhianat adalah kesalahan yang amat serius. Inilah masa setiap warganegara menunjukkan ketaatan dan kesetiaan tidak kira fahaman politik dan pendirian,” tegasnya.

Baru-baru ini, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua menuduh insiden tembakan di Lahad Datu Sabah adalah satu konspirasi terancang kerajaan (BN).

Tuduhan liar itu turut diselar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin yang berkata tuduhan itu adalah mainan politik yang cukup hina oleh pembangkang untuk meraih sokongan rakyat negara ini.

“Kami (kerajaan) tidak berbuat demikian. Dalam soal keselamatan kami tidak sekali-kali mempolitikkannya kerana membabitkan nyawa manusia,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Program Jelajah Janji Ditepati Peringkat Negeri Perlis kelmarin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan