Jumaat, 15 Mac 2013

Saksi Cerita Detik Cemas Peristiwa Rompakan


MIRI: “Tiba-tiba datang sebuah kenderaan dari belakang dan terus melanggar kenderaan kami di bahagian tepi sebelah pemandu. Saya mengarahkan pemandu (kami) agar tidak memberi laluan kepada kenderaan itu dan mengekalkan kelajuan,” kata Yaranagu Harinatha Reddy.

Setelah itu katanya, kenderaan mereka terus bergerak kurang lebih satu kilometer ke hadapan sebelum kenderaan dengan nombor plat pendaftaran QT6053 (double cab) yang melanggar tersebut memintas dan kemudian berhenti di hadapan kenderaan mereka.

“Sejurus itu, dua daripada penumpang kenderaan tersebut masing-masing telah mengacukan senapang ke arah kami manakala seorang lagi turun dari kenderaan dan menuju ke arah kenderaan kami.

“Lelaki terbabit yang membawa sebatang kayu bertindak memukul cermin pintu sebelah saya (tempat duduk penumpang hadapan), namun tidak pecah. Dia kemudian memukul cermin pintu belakang dengan kayu yang sama hingga pecah,” katanya.

Beliau memberitahu demikian pada perbicaraan tiga lelaki yang menghadapi tuduhan melakukan rompakan berkumpulan dan bersenjata dengan merompak wang gaji pekerja berjumlah RM1.35 juta kepunyaan sebuah syarikat minyak dan gas, Punj Lloyd Oil Sdn Bhd.

Reddy, 41, yang merupakan pegawai akaun di syarikat terbabit merupakan saksi ketiga dalam perbicaraan kes tersebut yang masuk hari ketiga semalam.

Dalam keterangan lanjutnya, dia yang juga merupakan pengadu dalam kes ini memberitahu bahawa sebaik cermin pintu belakang pecah, lelaki terbabit lalu membuka pintu kenderaan tersebut dan terus menarik seorang rakannya, Chandra yang duduk di tempat duduk penumpang belakang.

“Serentak itu, dia (tertuduh) lalu mengambil dua beg mengandungi wang tunai RM1.35 juta yang diletakkan di antara Satish dan Chandra,” katanya sambil memberitahu, selepas itu kesemua lelaki terbabit terus melarikan diri dengan kenderaan mereka.

Terdahulu dalam keterangannya, saksi terbabit memberitahu bahawa sebelum kejadian yang berlaku pada jam 3.10 petang, 6 November, dia bersama dua rakan iaitu Chandra dan Satish serta pemandu (tertuduh ketiga) sedang dalam perjalanan dari Bintulu menuju ke Kem 6 Lapok untuk menghantar wang pekerja syarikat berjumlah RM1.35 juta.

Mereka bertolak dari Bintulu pada jam 12.30 tengah hari dan tiba di tempat kejadian iaitu Jalan Beluru-Lapok, Marudi sekitar jam 3 petang.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Syakil Zulkifli apakah perasaannya semasa kejadian berlaku dan apa yang dia lakukan selepas itu, Reddy memberitahu bahawa dia berasa takut dan selepas itu terus memaklumkan insiden tersebut kepada Pengurus Pembinaan Perumahan (RCM) Rajiv Shukla.

Saksi juga memberitahu bahawa dia tidak dapat mengecam wajah perompak terbabit kerana mereka bertopeng.

Setelah itu katanya, dia telah menunggu di situ dan dengan bantuan seorang pelanggan syarikat yang tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian, dia telah pergi ke Balai Polis Beluru untuk membuat laporan polis.

Albert Janggak, 26, dan adik-nya, Mathioes Janggak, 19, dari Rumah Alo, Sungai Dulang, Suai Niah telah didakwa mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 30 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh didapati telah melakukan rompakan berkumpulan dan bersenjata dengan merompak wang tunai RM1.35 juga yang merupakan wang gaji pekerja syarikat Punj LLoyd Oil & Gas (M) Sdn Bhd.

Semasa melakukan rompakan itu, mereka turut bersenjatakan dua laras senapang patah dan sebatang kayu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama empat orang yang masih bebas pada jam 3.10 petang, 6 November tahun lalu di Jalan Beluru-Lapok, Marudi.

Manakala tertuduh ketiga, Shah Rezza Azhar, 25, dari No.3 Kampung Sekerang, Igan di Mukah telah didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 395 kanun yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Shah dituduh bersubahat dengan Albert dan Mathioes serta empat orang lagi yang masih bebas untuk melakukan rompakan ke atas wang tunai berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada masa dan tempat yang sama.

Sementara itu, ketika diperiksa balas oleh peguam bela Sam Laya yang mewakili tertuduh pertama dan kedua, adakah dia mempunyai bukti membawa wang sejumlah yang dinyatakan, saksi menjawab ia berdasarkan baucar yang telah ditandatangani.

Kepada satu soalan lagi, Reddy memberitahu bahawa kenderaan Hilux dengan nombor pendaftaran QMN5848 yang mereka naiki merupakan kereta sewa namun tidak ingat nama pemilik kenderaan tersebut.

Kenyataannya itu telah dipertikaikan oleh peguam bela Shaikh Rajjish yang mewakili tertuduh ketiga ketika sesi pemeriksaan balas petang semalam.

Rajjish berkata saksi telah memberi dua keterangan yang bercanggah iaitu kerana dalam laporan polis, dia memberitahu kenderaan tersebut kepunyaan majikan sedangkan dalam ke-terangan lisan semasa perbicaraan semalam ia adalah disewa.

Pun begitu Reddy tidak bersetuju dengan pendapat Rajjish dan menegaskan bahawa kenderaan tersebut adalah kenderaan sewa yang disewa oleh majikannya.

Selain itu, Rajjish turut memberitahu bahawa saksi telah memberikan satu lagi keterangan bercanggah iaitu dalam laporan polisnya menyebut tiga hingga empat lelaki keluar dari kendera-antersebut dengan dua daripada mereka telah mengacukan senapang ke arah mereka.

Sedangkan dalam keterangan lisan semalam, saksi memberitahu hanya seorang lelaki yang turun dari kenderaan tersebut dan menuju ke kenderaan mereka.

Reddy sekali lagi tidak bersetuju dan memberitahu ia adalah kenyataan sama sambil menjelaskan seorang turun dari kenderaan tersebut dan menuju ke arah mereka, manakala tiga dalam kenderaan dengan dua daripada mereka mengacukan dua senapang patah ke arah mereka.

Perbicaraan bersambung pada 28 Mac ini, jam 9.30 pagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan