Jumaat, 15 Mac 2013

Tolak Pengkhianat Negara

Anak dan isteri mendiang DSP Michael Padel

SERIAN: Pihak yang mempersenda pengorbanan anggota pasukan keselamatan yang menggadai nyawa untuk mempertahankan kedau-latan negara adalah pengkhianat.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad berkata, golongan itu layak dianggap sedemikian kerana perbuatan itu jelas menunjukkan mereka menghina pengorbanan serta perjuangan pasukan keselamatan negara.

Justeru, Roslan mengajak orang ramai untuk bersama-sama berganding bahu menghapuskan golongan pengkhianat bangsa dan negara ini demi menjaga kedaulatan negara.

“Bayangkan apa yang telah berlaku di mana ada nyawa yang terkorban, tetapi masih ada golongan pengkhianat ini yang sanggup mempermainkan perkara tersebut. Ini jelas menunjukkan mereka (pengkhianat) ini lebih hina daripada binatang.

“Jadi, saya harap perkara ini dijauhkan dan bersama-sama kita mendoakan keselamatan pasukan keselamatan negara yang kini sedang berjuang mempertahankan kedaulatan negara kita, begitu juga keluarga-keluarga pejuang yang telah gugur,” katanya.

Beliau berkata demikian semalam ketika mengetuai rombongan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching ke rumah keluarga mendiang DSP Michael Padel di Kampung Tebakang Dayak di sini, semalam.

Michael, 36, terkorban semasa mempertahankan kedaulatan negara di Lahad Datu dan Semporna, Sabah minggu lepas.

Roslan turut menyampaikan sumbangan derma kilat daripada seluruh warga IPD Kuching kepada balu mendiang DSP Michael Padel, Jabah Mingku, 35.

“Ini sebagai tanda ingatan warga IPD Kuching dan kita masih meneruskan kutipan selain turut bersedia untuk menghulurkan bantuan dalam apa-apa bentuk sekalipun kepada pihak keluarga mendiang,” kata Roslan.

Sementara itu, Jabah ketika ditemui pemberita meluahkan: “Saya sejujurnya masih belum dapat menerima kenyataan dan saya amat mengharapkan sokongan moral daripada semua pihak agar saya mampu berhadapan dengan semua ini.”

Menurutnya, bayangan serta bau minyak wangi kegemaran mendiang suaminya masih bermain di fikirannya, walaupun sudah hampir dua minggu mendiang meninggalkan mereka.

“Kadang-kadang, saya seperti dapat rasakan kehadirannya sehingga malam tadi (kelmarin), saya mimpikan mendiang datang ke sini dengan lengkap berpakaian seragam polis, tetapi apabila saya membuka mata… dia hilang. Saya memang teringin sangat berjumpa dengannya walaupun hanya dalam mimpi,” kata Jabah.

Ditanya mengenai perancangan seterusnya, Jabah memberitahu dia bersama anak tunggal mereka, Macluie Michael, 11, akan menetap di rumah keluarga mendiang di sini buat sementara waktu.

“Kami akan berpindah ke sini dan anak saya akan menyambung persekolahannya di Sekolah Kebangsaan (SK) Tebakang dan seterusnya saya akan memohon tempat untuknya di Sekolah Menengah St Joseph.

“Saya mahu yang terbaik untuk anak saya kerana mendiang sebelum ini sentiasa menitikberatkan persekolahan anak dan dia pernah berkata, ‘Mesti belajar rajin-rajin supaya pandai dan apabila pandai, nanti boleh dapat pekerjaan yang bergaji besar’,” katanya.

Jabah turut berharap insiden pencerobohan di Sabah dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.

“Saya mendoakan agar krisis ini selesai dengan cepat dan semua pejuang pulang dengan selamat,” katanya.

Rombongan tersebut semalam disertai kira-kira 60 anggota dan pegawai polis termasuk ahli-ahli PERKEP dari IPD Kuching.

Hadir sama kedua-dua Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Abang Ahmad Abang Julai dan Superintenden Pauzi Bujang serta Pengerusi PERKEP IPD Kuching Roslina Rahman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan