Khamis, 14 Mac 2013

Semua Anggota Tentera Terkorban Terima Imbuhan Sama


KOTA BAHARU: Kerajaan akan memberi imbuhan atau insentif yang sama kepada semua anggota tentera yang terkorban, sama ada akibat serangan musuh atau dalam kemalangan jalan raya ketika bertugas.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata kedua-dua punca kematian itu dianggap sama kerana mereka dalam tugasan.

“(Imbuhan) ini sebagaimana diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa anggota keselamatan yang terkorban semasa bertugas diberi imbuhan dengan dinaikkan pangkat mengikut peraturan dalam Akta Tentera 1972,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau ditemui pada pengebumian Kpl Ahmad Farhan Ruslan di Tanah Perkuburan Islam Madrasah Pohon Chelagi, Kampung Pasir Hor, di sini.

Ahmad Farhan, 21, yang berasal dari Perumahan Desa Darulnaim, Pasir Tumboh, di sini, meninggal dunia dalam nahas jalan raya apabila trak yang dinaiki terbabas di Kampung Tungku, Lahad Datu semasa dalam konvoi dari Kota Kinabalu ke Lahad Datu untuk Operasi Daulat.

Abdul Latiff turut mengucapkan takziah kepada semua keluarga wira negara yang terkorban dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.

Sehingga semalam 10 anggota pasukan keselamatan terkorban dalam kejadian pencerobohan kumpulan militan dari selatan Filipina itu. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan