Khamis, 14 Mac 2013

Jenazah Dua Wira Negara Selamat Disemadi



Tenanglah disana - Al-Fatihah

PASIR MAS: Jenazah dua wira negara Kpl Ahmad Hurairah Ismail dan Kpl Ahmad Farhan Ruslan yang gugur dalam Operasi Daulat menentang militan dari Sulu kelmarin, selamat dikebumi di kampung halaman masing-masing.

Jenazah Ahmad Hurairah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lalang, tidak jauh dari rumah keluarganya di sini, manakala Ahmad Farhan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Madrasah Pohon Celagi, Pasir Hor di Kota Baharu.

Upacara pengebumian kedua-dua wira negara itu diadakan penuh istiadat ketenteraan dan turut dihadiri anggota dan pegawai tinggi tentera.

Jenazah Ahmad Hurairah dan Ahmad Farhan tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dengan pesawat Charlie C-130 pada jam 9.50 pagi, dan dibawa ke kampung halaman masing-masing dengan van jenazah.

Terdahulu jenazah kedua-dua wira negara itu tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang sejurus sebelum jam 8 pagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi antara yang menyambut ketibaan kedua-dua jenazah dan memberi penghormatan terakhir kepada wira negara itu.

Ahmad Hurairah, 24, terkorban dalam pertempuran dengan kumpulan militan di Sungai Nyamuk, Kampung Tanjung Batu di Lahad Datu, Sabah semalam manakala Ahmad Farhan, 21, terbunuh dalam kemalangan di Jalan Tungku, Lahad Datu semasa dalam konvoi untuk Operasi Daulat.

Jenazah Ahmad Hurairah tiba di rumah keluarganya di Kampung Bayu Lalang di sini untuk disembahyangkan pada jam 11.15 pagi.

Antara yang turut sembahyang jenazah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub.

Suasana agak hiba seketika apabila Zulkifli menyerahkan sumbangan daripada pelbagai pihak kepada bapa Allahyarham, Ismail Hussin, 54, sebaik selesai majlis pengebumian itu.

Manakala, jenazah Ahmad Farhan dibawa ke rumah keluarganya di Taman Desa Darulnaim II, di Pasir Tumboh di sini dan disemadikan pada jam 12 tengah hari. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan