Khamis, 13 September 2012

Polis Tumpas Kumpulan Samun


MIRI: Polis Miri percaya dapat menumpaskan sebuah kumpulan samun bersenjata yang didalangi seorang lelaki dikenali sebagai Igat Thunder dengan tertangkapnya dua anggota kumpulan terbabit, malam Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Superintenden Sapian Selihin berkata, penangkapan kedua-dua suspek terbabit telah mendedahkan identiti ketua kumpulan terbabit yang lebih dikenali sebagai Igat Thunder.

Sehubungan itu, menurut beliau, polis kini meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan Igat Thunder atau nama sebenarnya, Lawrence Lutoh.

Lawrence, 25, pemegang MyKad bernombor 870906-13-5251 dari Taman Ceria, Bandar Baru Permyjaya di sini amat diperlukan untuk membantu siasatan polis berhubung satu kes samun bersenjata yang berlaku Ahad lalu.

“Justeru, kita meminta kerjasama orang ramai yang mengenali atau mengetahui di mana Igat Thunder berada, agar segera menghubungi pihak polis melalui talian 085-433222,” katanya pada sidang media yang diadakan di bilik mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di sini petang kelmarin.

Dalam pada itu, Sapian memberitahu dalam kejadian samun bersenjata yang berlaku di sebuah rumah di Permyjaya petang Ahad lalu, mangsa, 39, seorang kerani wanita di sebuah syarikat swasta di sini sedang berehat di rumah bersama dua anak yang masih kecil serta bapa mentuanya.

Ketika mangsa sedang berbaring di ruang tamu, tiba-tiba dia telah didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang memasuki rumahnya melalui pintu bahagian hadapan yang tidak berkunci.

Lelaki itu terus mengacukan sebilah parang pemotong daging ke arah mangsa sambil mengarahkan mangsa menyerahkan seutas rantai emas yang dipakainya.

“Mangsa yang ketakutan lalu membuka rantai emasnya sendiri dan mencampakkan ke lantai,” katanya.

Sejurus itu menurut Sapian, suspek terus mengambil rantai tersebut dan meluru keluar melalui pintu depan serta melarikan diri ke arah belakang rumah mangsa dengan memanjat pagar dan kemudian menuju ke arah seorang rakannya yang sedang menunggu sambil menunggang motosikal di kawasan berhampiran.

Katanya, mangsa dapat mengecam wajah suspek dan nombor pendaftaran motosikal yang digunakan rakan suspek.

Berikutan itu, katanya, pada jam 10.30 malam hari sama, polis berjaya menahan dua suspek masing-masing berusia 18 tahun di sebuah rumah di kawasan Quadruplex di sini kerana disyaki terlibat dalam kes tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan