Rabu, 5 September 2012

‘Bomoh’ Penipu Dicekup Polis


SIBU: Seorang ‘bomoh’ berumur dalam lingkungan 70-an berjaya dicekup polis di Pasai Siong selepas dia didakwa menipu wang tunai RM70,000 milik seorang lelaki warga emas di sebuah rumah di pekan Kanowit.

Kejadian itu berlaku apabila mangsa telah berjumpa dengan seseorang yag memperkenalkan dirinya sebagai bomoh yang kononnya mempunyai kuasa ghaib yang mampu melipat ganda wang mangsanya.

Mangsa yang teruja setelah melihat bomoh tersebut menunjukkan kehebatan kuasanya melalui satu demonstrasi sebelum itu telah bersetuju untuk berjumpa semula dengan bomoh itu di sebuah rumah di Kanowit pada 30 Ogos lalu.

Seperti yang dijanjikan, mangsa telah membawa wang tunai sebanyak RM70,000 ke sebuah rumah yang ditunjukkan oleh ‘bomoh’ tersebut di mana upacara memuja dilakukan di situ.

Mangsa dikehendaki meletakkan keseluruhan wang tunai itu ke dalam satu bekas dan kemudiannya dibalut dengan kain.

Selepas upacara itu siap dilakukan mangsa kemudiannya dikehendaki membawa pulang bekas yang dibalut dengan kain tersebut pulang ke rumahnya.

Bagaimanapun mangsa tidak boleh membuka bekas itu sehingga dia berada di rumah.

Apabila mangsa membuka bungkusan itu semula di rumah, dia hanya mendapati ia hanya mengandungi sebuah buku nota di dalamnya.

Menyedari dia telah ditipu mangsa kemudiannya membuat laporan polis sejurus selepas itu.

Bertindak daripada itu, polis telah berjaya menahan suspek di Pasai Siong pada 2 September lalu. Suspek telah direman selama empat hari bermula 3 September lalu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan