Ahad, 9 September 2012

Bot Asing Ceroboh Perairan Ditahan

Muhammad menunjukkan hasil tangkapan yang dipunggah dari bot nelayan asing

BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 12 Bintulu berjaya menahan sebuah bot dan 14 nelayan asing dalam satu operasi yang dilancarkan awal pagi semalam.

Menurut Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Bintulu Komander Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli, dalam operasi yang diketuai oleh Leftenan Komander Maritim Abdul Razak Mohamed bersama 18 anggota yang ketika itu sedang membuat rondaan di perairan negara menggunakan kapal APMM iaitu KM Tabah, menahan bot asing terbabit sekitar jam 5.51 pagi.

Semasa tangkapan dibuat, jelasnya, kesemua 14 orang nelayan terbabit sedang melakukan pemindahan hasil tangkapan bersama-sama tiga bot lain, bagaimanapun ketiga-tiga bot terbabit berjaya melarikan diri dan tidak dapat dikesan.

“Bot nelayan terbabit kemudiannya ditunda ke Pelabuhan Bintulu. Kesemua nelayan asing itu yang dalam lingkungan umur 12 hingga 51 tahun kemudiannya ditahan kerana didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Selain itu, mereka menangkap serta memindahkan ikan tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” ujarnya.

Jelasnya lagi, dari Januari hingga 11 Mei tahun ini, APMM Daerah Maritim 12 Bintulu telah berjaya menyelesaikan 10 kes tangkapan membabitkan 96 nelayan asing yang ditahan kerana menceroboh perairan negara yang mana kesemua mereka telah dikenakan tindakan undang-undang.

“Pencerobohan perairan negara oleh nelayan asing ini didorong oleh faktor hasil tangkapan yang banyak berbanding di perairan negara mereka sendiri kerana tiadanya kawalan terhadap penangkapan sebagaimana yang dilaksanakan di negara ini,” tegasnya.

Buat masa sekarang, jelasnya, keadaan di perairan negara masih berada dalam keadaan terkawal dan selamat dengan APMM akan sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa di bawah Op Permai bagi memastikan tiada berlaku pencerobohan di perairan negara.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan