Ahad, 9 September 2012

Dua Wanita Dipercayai Curi Barang Keperluan Dicekup

SIBU: Kegiatan dua wanita mencuri barangan di dalam kedai akhirnya terbongkar apabila mereka ditahan oleh seorang anggota RELA di Jalan Sentral petang kelmarin.

Kedua-dua suspek berumur 29 dan 30 tahun yang berasal dari sebuah rumah panjang di Jalan Oya ditahan selepas mereka keluar dari sebuah kedai di Jalan Sentral pada jam 5.30 petang itu.

Menurut laporan, gelagat kedua-dua mereka telah disedari oleh seorang anggota RELA yang kebetulan berada di situ.

“Pertama saya nampak salah seorang daripada wanita tersebut sedang mengambil sesuatu dari rak barangan di sebuah kedai di situ dan kemudian memasukkannya ke dalam bajunya.

“Dia kemudian diekori oleh seorang lagi rakan wanita yang juga membawa beg tangan yang agak padat dengan barangan menuju ke arah kaunter tetapi hanya berhenti seketika tetapi keluar dari kedai tanpa membuat pembayaran,” kata anggota RELA terbait yang enggan dikenali.

Mengesyaki sesuatu yang mencurigakan, anggota RELA itu bertindak menahan kedua-dua wanita di luar premis kedai berkenaan sebelum memanggil beberapa orang pembantu kedai untuk memeriksa beg tangan mereka.

Setelah diperiksa, keduadua wanita tersebut turut didapati menyembunyikan beberapa barangan runcit di dalam baju dan seluar mereka.

Kejadian itu menarik perhatian orang ramai yang memenuhi ruang di hadapan kedai tersebut.

Modus operandi keduadua wanita tersebut ialah memakai pakaian yang agak longgar dan membawa beg tangan yang sederhana saiznya.

Siasatan awal mendapati mereka telah melakukan kegiatan mencuri barangan di dalam kedai di empat buah kedai di sekitar Jalan Channel dan Jalan Sentral.

Antara barangan yang dicuri ialah Mi Sedap, Mi Maggi, paket isian semula Milo, syampu, cecair pencuci periuk, ubat pencuci mulut Listerine, makanan dalam tin dan sebagainya.

Hanya sebotol minyak masak dan beberapa ketul sabun sahaja mempunyai resit pembayaran dan selebihnya dicuri oleh mereka.

Pasukan Polis Peronda MPV kemudiannya memberkas kedua-dua wanita itu sebelum dibawa ke balai untuk membantu siasatan polis.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan