Ahad, 9 September 2012

Cengkerang Labi - Labi Dengan ‘Wajah’ Manusia

Cengkerang labi-labi yang tertera wajah menyerupai manusia

SIBU: Seorang murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Sibu Jaya terkejut selepas mendapati cengkerang seekor labi-labi yang dipeliharanya tertera wajah menyerupai manusia.

Perkara itu disedarinya lewat petang kelmarin ketika Leonard Yuzaini, 12, menukar air di dalam bekas haiwan peliharaannya itu.

Beliau ketika ditemui Utusan Borneo semalam memberitahu, labi-labi tersebut dipeliharanya selepas terperangkap di dalam bubu yang dipasang datuknya di Sungai Sebiru, Kapit.

“Ketika itu saya bercuti di rumah panjang emak saya di Kapit sempena sambutan perayaan Gawai Dayak.

“Selepas musim cuti berakhir, saya bawa balik (labi-labi) ke rumah sewa kami di Sibu Jaya,” ujarnya.

Menurut Leonard, ketika menukar air di dalam bekas itu, ibunya Sebi Judy, 40, meminta beliau menyukat saiz haiwan itu.

Ketika itulah, Leonard menyedari tanda-tanda pelik pada cengkerang labi-labi itu.

Sementara itu, Sebi yang turut ditemui di rumahnya memberitahu beliau pada mulanya tidak mempercayai perkara itu, namun Leonard bertindak meyakinkannya sehingga beliau turut pergi meneliti cengkerang labi-labi berkenaan.

“Sekali tengok, ia hanya seperti cengkerang biasa. Namun selepas diamati sepenuhya baharu muka manusia kelihatan,” katanya yang tidak pernah melihat kejadian seumpama itu.

Ditanya sama ada beliau sekeluarga pernah mengalami sesuatu yang luar biasa atau ganjil selepas penemuan itu, Sebi yang telah kematian suami sejak setahun lalu memberitahu tidak ada.

Sementara itu, Sebi turut memaklumkan kejadian itu kepada saudara-mara terdekatnya.

Malah, jiran-jirannya yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan kejadian pelik itu turut berkunjung ke rumah Sebi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan