Khamis, 20 September 2012

Calon Parti Republikan Dikritik Hebat

Calon pilihan raya Presiden daripada Parti Republikan, Mitt Romney 

WASHINGTON - Peluang calon Parti Republikan, Mitt Romney untuk memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) tercalar kelmarin selepas satu klip video rahsia mendapati beliau menolak perjuangan rakyat Palestin dan usaha damai di Asia Barat.

Komen Romney itu membangkitkan kemarahan perunding keamanan Palestin, Saeb Erakat yang menyifatkan kenyataan tersebut tidak boleh diterima.

Klip video tersebut turut memberi peluang kepada kem Presiden Barack Obama untuk mengkritik Romney sebagai calon yang tidak sesuai dipilih sebagai Presiden AS.

Kenyataan beliau dirakam pada satu majlis mengumpul dana Republikan di AS pada 17 Mei lalu.

Pada acara tersebut, Romney, 65, turut menyelar penyokong Demokrat sebagai "mangsa" yang hidup bergantung kepada subsidi dan bantuan pemerintah.

Komen panas Romney yang dibuat pada majlis di Florida itu didedahkan oleh sebuah majalah AS,Mother Jones, kelmarin.

Ditanya sama ada isu Palestin boleh diselesaikan, Romney berkata, rakyat Palestin tidak berminat untuk berdamai dan jalan ke arah keamanan mustahil untuk dicapai.

"Saya melihat rakyat Palestin tidak mahu melihat keamanan. Mereka komited kepada kemusnahan dan kehancuran Israel, berhubung isu sukar ini (usaha damai Asia Barat), saya katakan tiada jalan penyelesaian," katanya.

Mengulas komen Romney, White House menyatakan bahawa beliau tidak layak untuk mentadbir AS kerana dua Presiden AS sebelum Obama iaitu Bill Clinton dan George W. Bush berusaha keras ke arah keamanan di Asia Barat. Clinton merupakan anggota Demokrat, manakala Bush pula ahli Republikan.

Pilihan raya Presiden AS dijadual diadakan pada 6 November depan yang menyaksikan pertembungan antara Romney dan Obama. - Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan