Suspek dibawa oleh dua anggota polis ke dalam lokap untuk ditahan reman
KUCHING: Selaras senapang patah bersama kelongsong peluru antara yang dirampas daripada seorang lelaki dipercayai suspek kes pembunuhan seorang pemandu lori yang kini ditahan reman untuk membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad berkata suspek yang berusia 41 tahun dan dipercayai Bumiputera itu ditahan di rumahnya di Kota Samarahan hasil maklumat serta risikan pihak polis beberapa jam selepas kes tersebut dilaporkan.
Oleh Jeremy Lanson “Hasil siasatan dan maklumat orang awam, kami berjaya menahan seorang lelaki tempatan selepas 20 jam 20 minit kes tersebut dilaporkan.
“Selain itu, kami juga telah merampas beberapa bahan bukti termasuk selaras senapang patah dan beberapa peralatan lain seperti kelongsong peluru yang kami percaya ada kaitan dengan kes tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, Roslan pada sidang media berhubung kes tersebut di pejabat beliau di sini semalam berkata pihaknya kini tidak dapat membuat sebarang pengesahan sementara siasatan masih dijalankan.
“Lelaki tersebut ditahan untuk membantu siasatan dan kami akan menyiasat kes ini dengan terperinci sebab kami hendakkan keadilan dan kami tidak mahu berlaku kesilapan,” katanya.
Selain itu, Roslan turut menasihati orang awam agar tidak panik dengan kes tersebut kerana menurut beliau kes tersebut setakat ini dipercayai berpunca daripada masalah peribadi.
Pada Isnin (17 September) lepas, seorang lelaki iaitu Rahman Chumani, 38, telah ditembak mati di pekarangan rumahnya di Kampung Segedup, Batu Kawa, di sini sekitar jam 8 malam.
Ekoran itu, mangsa yang ditembak di kepala disahkan meninggal dunia selepas terkena 18 butir peluru dipercayai ditembak menggunakan senapang patah.
Mayat mangsa telah dituntut oleh ahli keluarganya untuk dikebumikan sejurus selepas proses bedah siasat kelmarin.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati,” kata Roslan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan