Ahad, 9 September 2012

Dua Premis 7Eleven Dirompak Bersenjata


KUCHING: Dua buah premis 7Eleven terpaksa ditutup awal atas sebab keselamatan selepas dimasuki dua perompak bertopeng yang bersenjatakan parang awal pagi semalam.

Kedua-dua premis tersebut yang terletak di Jalan Song dan Kota Sentosa di sini masing-masing melalui detik getir sekitar jam 2 hingga 3 pagi semalam.

Seorang pekerja 7Eleven di Jalan Song yang enggan dikenali berkata kedua-dua suspek menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna hitam dan dipercayai berbangsa Cina berdasarkan loghat yang digunakan oleh mereka.

“Mereka (suspek) datang menaiki sebuah Hilux di mana seorang daripadanya meluru masuk ke arah kaunter dan terus mengacukan sebilah parang kepada juruwang sambil mengarahkannya untuk memasukkan semua wang yang ada ke dalam beg yang dibawa olehnya.

“Manakala seorang lagi suspek yang bersenjatakan kayu telah menjadikan seorang pekerja wanita sebagai tebusan sebelum kedua-dua mereka melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya.

Tambahnya, antara yang berjaya dilarikan mereka dalam kejadian tersebut ialah wang tunai RM100, dan 80 kotak rokok berjenama.

Sementara itu, selang beberapa minit selepas itu, satu lagi laporan diterima mengatakan sebuah lagi premis 7Eleven di Kota Sentosa dirompak dipercayai oleh suspek yang sama.

Bagaimanapun menurut sumber, suspek hanya berjaya melarikan wang berjumlah RM80 sahaja dari premis tersebut.

“Difahamkan mereka (suspek) hanya berjaya melarikan wang tunai RM80 sahaja dari premis tersebut sebelum beredar dari tempat kejadian. Selain itu, nombor pendaftaran Hilux yang digunakan mereka juga berjaya dicatatkan selain terdapat rakaman kamera litar tertutup untuk membantu siasatan polis,” katanya.

Laporan polis berhubung kejadian telah dibuat dan siasatan masih dijalankan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan