Ahad, 9 September 2012

Mayat Kru Tongkang Dikhuatiri Lemas Ditemui


MIRI: Mayat seorang kru tongkang yang dikhuatiri lemas selepas mandi-manda bersama beberapa rakan sekerja di Sungai Baram pada petang Rabu lalu telah ditemui terapung petang kelmarin.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai Suparman, berusia lingkungan 20-an ditemui terapung pada jarak dua kilometer dari tempat tongkangnya berlabuh di Sungai Baram berhampiran Uma Bawang di Baram.

Menurut sumber, sebelum kejadian yang berlaku sekitar jam 1.40 petang, 5 September lalu, mangsa yang merupakan seorang warganegara Indonesia dikatakan sedang mandi bersama beberapa rakan sekerja di kawasan berhampiran tongkang mereka berlabuh dengan terjun ke sungai berkenaan.

Setelah beberapa ketika, mangsa dikatakan tidak muncul-muncul setelah terjun dari atas tongkang berkenaan.

Bimbang akan keselamatan mangsa, beberapa rakan sekerjanya kemudian telah membuat laporan polis di Balai Polis Long Lama sekali gus meminta bantuan pihak polis untuk mencari dan menyelamat mangsa.

Ketua Polis Daerah Baram, DSP Abu Bakar Moktar ketika dihubungi Utusan Borneo kelmarin mengesahkan penemuan mayat terbabit sebagai pekerja sebuah kapal tongkang yang dilaporkan hilang oleh rakan sekerjanya pada Rabu lalu.

Menurut beliau, mayat mangsa yang masih berpakaian lengkap telah ditemui terapung oleh beberapa anggota polis yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa pada jam 5 petang kelmarin di kawasan sejauh dua kilometer dari tempat kejadian.

“Mayat telah dihantar ke Hospital Miri dan tiba di sana sekitar jam 8 malam tadi (kelmarin) untuk proses bedah siasat,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan