Selasa, 18 September 2012

Dua Remaja Dibelasah Sebelum Dirompak Sekumpulan Lelaki


KUCHING: Dua remaja dari Semenanjung Malaysia dibelasah sebelum dirompak sekumpulan lelaki tidak dikenali di Tebingan Kuching, awal pagi semalam.

Kedua-dua pelajar salah sebuah universiti di Kota Samarahan yang masing-masing berusia 19 tahun itu didatangi hampir 10 lelaki tidak dikenali, sekitar jam 12.40 pagi itu.

Menurut mangsa, salah seorang daripada kumpulan tersebut tiba-tiba membaling kotak minuman kepada mereka manakala yang selebihnya mula membelasah mereka.

Mereka mengalami kecederaan di bahagian kepala dan muka, termasuk lebam di bahagian pipi setelah dipukul dan dipijak di bahagian muka. Suspek turut dikatakan memukul kedua-dua mangsa dengan menggunakan kerusi plastik.

Kumpulan tersebut merampas beg duit yang mengandungi dokumen peribadi dan sejumlah wang serta telefon bimbit kedua-dua mangsa sebelum melarikan diri.

Mereka seterusnya membuat laporan polis, sebelum dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dengan menggunakan ambulans.

Kes tersebut sedang disiasat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan