Selasa, 18 September 2012

Tiga Remaja Ditahan Kerana Disyaki Cuba Pecah Rumah

Gambar Hiasan

SIBU: Polis Sibu Jaya menahan tiga remaja termasuk seorang pelajar perempuan tingkatan empat sebuah sekolah menengah di sini.

Kesemua mereka yang berusia belasan tahun ditahan sekitar jam 8 malam dalam satu serbuan malam kelmarin setelah mereka dipercayai memecah masuk sebuah rumah di Taman Kristal, Sibu Jaya.

Terdahulu, pihak polis menerima panggilan daripada orang awam yang menyedari kehadiran suspek di dalam rumah teres dua tingkat terbabit.

Difahamkan, pemilik rumah terbabit tidak berada di rumahnya kerana komitmen tugas beliau di luar persisiran pantai.

Sepasukan anggota polis dari Balai Polis Sibu Jaya bergegas ke tempat kejadian sebelum memberkas pelajar perempuan berkenaan.

Dua orang rakan suspek bagaimanapun berjaya meloloskan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran polis.

Bagaimanapun, kedua-dua suspek terbabit berjaya diberkas semula tidak jauh dari tempat kejadian hasil maklumat orang awam.

Sementara itu Ketua Balai Polis Sibu Jaya Cif Inspektor Sibu Wan Mazlan memberitahu, suspek cuba melarikan beberapa peralatan elektronik termasuk televisyen.

“Bagaimanapun tindakan mereka terbantut selepas kelibat mereka disedari salah seorang jiran pemilik rumah terbabit yang kebetulan melalui kawasan rumah berkenaan.

“Semasa kita memasuki rumah tersebut, beberapa peralatan termasuk pemutar skru telah ditemui,” katanya.

Menurut Wan Mazlan lagi, dengan penangkapan suspek, beliau percaya pihaknya berjaya menyelesaikan dua kejadian pecah rumah yang dilaporkan berlaku di Sibu Jaya baru-baru ini.

Bercakap lanjut, Wan Mazlan berharap penduduk Sibu Jaya tidak panik mengenai kejadian pecah rumah. Katanya, kejayaan menahan ketiga-tiga suspek berkenaan merupakan titik permulaan kepada usaha mereka membanteras kegiatan jenayah di sini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan