Selasa, 18 September 2012

Penduduk Miri Harus Bijak Pilih Kerajaan

Chin dan Sebastian bersama tetamu memotong kek

MIRI: Penduduk Miri harus bijak dalam membuat keputusan dan penilaian untuk memilih kerajaan yang tepat pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 kelak jika mahu terus menikmati pembangunan.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui berkata Miri telah menerima perkembangan pesat sejak ditadbir urus kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak merdeka lagi.

“Kita tidak mahu penduduk Miri melakukan kesilapan pada PRU kelak kerana jika berlaku, maka semua program pembangunan yang dirancang kerajaan BN akan turut terjejas,” katanya pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri Merdeka Raya Gabungan JKKK dan Masjid An-Nur Kampung Pujut Batu Satu, di sini semalam.

Chin menambah, Miri telah berkembang pesat hasil usaha gigih kerajaan BN dan rakyat tidak akan menikmati kemajuan pada masa akan datang jika memihak kepada pembangkang.

“Pembangkang hanya pandai menabur janji dan mengkritik kerajaan sedangkan semua kemajuan yang telah dan sedang berlaku ketika ini adalah hasil ‘air tangan’ kerajaan BN,” ujarnya.

Chin yang juga Ahli Parlimen Miri yakin kerajaan BN akan diberi mandat sekali lagi oleh rakyat jika semua pihak termasuk komponen parti dalam BN bekerjasama dan membantu antara satu sama lain.

“Sekarang adalah masa yang tepat untuk kita mendapat semula kepercayaan daripada rakyat dan kerjasama antara parti komponen BN mampu menjadi teras ke arah kemenangan kerajaan BN,” katanya.

Beliau juga mengingatkan rakyat supaya tidak tersalah pilih dan membuang undi hanya kerana terpengaruh dengan hasutan pihak pembangkang.

“Kita harus mengambil iktibar dan teladan daripada pilihan raya lalu dan kembali semula kepada kerajaan BN yang sudah nyata membela nasib rakyat tidak mengira kaum dan agama,” katanya.

Chin menjelaskan bahawa Sarawak turut menerima tempias pembangunan pesat sejak bergabung dengan Sabah dan Tanah Melayu bagi membentuk kerajaan Malaysia.

“Rakyat harus faham dengan pembentukan Malaysia kerana telah memberi manfaat kepada penduduk Sabah dan Sarawak dari segi pembangunan ekonomi, fizikal, sosial dan taraf hidup rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyatakan hasrat untuk mendapatkan peruntukan sekurang-kurangnya RM800,000 daripada kerajaan pusat untuk membina balai raya kampung terbabit.

“Saya akan berbincang perkara ini dengan Perdana Menteri dalam masa terdekat untuk mendapatkan peruntukan membina balai raya serba guna untuk kegunaan penduduk setempat,” katanya.

Hadir sama Setiausaha Politiknya, Datuk Sebastian Ting, Timbalan Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Yusuf, Ketua Kaum Kampung Pujut Tanjung Batu Satu, Usman Suliaman dan Pengerusi PBB Senadin, Julaihi Mohamad.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan