Rabu, 5 September 2012

Hospital Swasta Cekik Darah Ditegur

KUCHING: ADUN Pending Violet Yong menegur tindakan sebuah hospital swasta di sini yang didakwa mengambil kesempatan terhadap pemegang kad insurans perubatan yang mendapatkan khidmat rawatan daripada mereka, dengan me-ngenakan caj yang jauh lebih tinggi berbanding caj asal.

Dakwaan itu dibuktikannya semalam dengan merujuk kes anak Wong Thai Hong, Jacklyn Wong dari taman perumahan Stampin Tengah di sini, yang menjadi mangsa serangan anjing pada 28 Ogos lepas pada sekitar jam 6 pagi.

Ketika kejadian, Wong telah merujuk anaknya untuk rawatan kecemasan di sebuah hospital swasta di sini dan pihak hospital kemudian mengarahkan anaknya supaya bermalam untuk satu malam bagi rawatan susulan yang rapi.

Selepas anaknya dibenarkan keluar hospital, Wong kemudiannya dikejutkan dengan jumlah caj yang dikenakan oleh pihak hospital untuk rawatan anaknya itu iaitu sebanyak RM4,699, jumlah yang dianggapnya amat tidak munasabah.

“Anak Wong merupakan pemegang kad insurans perubatan dan disebabkan itu pihak hospital ini telah mengambil kesempatan untuk mengenakan caj yang tinggi.

“Saya berharap hospital swasta ini menghentikan polisi mereka ini kerana ini adalah perbuatan menindas orang,” kata Violet dalam sidang media yang diadakan di sini, semalam.

Violet menambah, tindakan pihak hospital berkenaan juga akan menyebabkan syarikat insurans menaikkan kadar premium mereka dan ia pastinya akan menjejaskan orang awam.

“Mereka (hospital swasta) tidak sepatutnya melakukan begini. Saya berharap mereka akan menghentikannya,” katanya.

Berhubung kes itu, Violet berkata beliau akan mengemukakannya kepada Tribunal Tuntutan pengguna Malaysia untuk memfailkan tuntutan.

Selain itu, beliau juga akan mengajukannya kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan