Rabu, 5 September 2012

Remaja Cuba Bunuh Diri Ditahan

Remaja tersebut menunggu untuk diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching

KUCHING: Usaha seorang remaja yang mencetuskan drama dengan cuba mem­bunuh diri di sebuah asrama wanita syarikat pertanian di Semenggok, Batu 10 sia-sia kerana bukan sahaja bekas kekasihnya enggan kembali kepadanya malah dia turut ditahan polis kerana memas­uki kawasan larangan.

Dalam insiden sekitar tengah malam itu, pemu­da berusia 19 tahun dari Tebedu itu dikatakan pergi ke asrama tersebut setelah tidak berpuas hati dengan tindakan kekasihnya yang mahu memutuskan hubun­gan mereka.

Bagaimanapun, setelah gadis tersebut enggan ter­makan pujuk rayu agar kembali bersamanya, dia kemudian mengeluarkan objek tajam dan mengugut untuk membunuh diri.

Bimbang dengan tindakan dan keselamatan lelaki terse­but, gadis berkenaan ke­mudiannya menghubungi pengawal keselamatan dan insiden itu seterusnya dimak­lumkan kepada pihak polis. Polis peronda tiba ke lokasi tidak lama kemudian.

Walaupun tindakan cuba membunuh diri itu berjaya dihalang, namun suspek ditahan kerana memasuki kawasan larangan.

Polis turut menyita objek tajam yang digunakan suspek dalam cubaan membunuh diri. Laporan polis telah dibuat dan kes itu sedang disiasat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan