Selasa, 11 September 2012

Lelaki Miliki Pistol Buatan Sendiri Ada Rekod Jenayah Sama

Roslan (dua kanan) menunjukkan pistol buatan sendiri jenis Revolver yang dirampas

KUCHING: Siasatan awal terhadap dua lelaki tempatan yang ditahan Jumaat lepas kerana memiliki sepucuk pis­tol buatan sendiri bersama lima butir peluru hidup mendapati kedua-dua mereka mempun­yai rekod jenayah atas kesala­han sama.

Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching ACP Roslan Bek Ah­mad memberitahu, semakan mendapati kedua-dua suspek pernah dijatuhkan huku­man denda RM1,000 kerana memiliki senjata berbahaya dan dituduh di bawah Sek­syen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Manakala salah seorang suspek juga telah didenda RM2,500 dan penjara sehari di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 pada Ogos lalu,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching di sini, semalam.

Roslan memberitahu, ujian air kencing yang dijalankan turut mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis Meth dan kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum penjara tidak lebih daripada RM5,000 dan penjara tidak lebih dua tahun.

Tambahnya, salah seorang suspek juga melanggar Sek­syen 25(n) Peraturan Pen­daftaran Negara 1990 dan boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 setelah gagal mengemukakan kad pengenalan.

Semakan terhadap motosikal yang ditunggang kedua-dua suspek turut mendapati ia dicuri di Sibu pada 2 Januari lepas dan kertas siasatan disia­sat di bawah Seksyen 379A, Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih daripada tujuh tahun dan denda.

“Kedua-dua suspek yang ditahan reman selama empat hari akan berakhir Selasa (hari ini),” katanya.

Sementara itu, pada Sabtu sekitar jam 6.30 petang, se­pasukan polis dari cawangan Risikan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) me­nahan dua lelaki Bumiputera berkenaan yang dalam kead­aan mencurigakan di hadapan sebuah kedai peralatan kend­eraan di pekan Kota Sentosa, Batu Tujuh, di sini.

Kedua-dua lelaki yang dikatakan masing-masing dari Betong, berusia 37 tahun dan Miri, 32 tahun ditangkap ketika mahu menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Ego S berwarna hitam, dipercayai menggunakan nombor pen­daftaran palsu.

Ketika pemeriksaan dibuat, polis menemui sepucuk pistol jenis Revolver, lima butir peluru hidup, satu unit telefon bimbit jenama Sony Ericson dalam beg sandang salah seorang suspek dan telefon bimbit jenama Sony daripada seorang lagi suspek.

Roslan memberitahu, kes itu masih dalam siasatan terperinci polis, di bawah Seksyen 8 dan 9, Seksyen Akta Senjata Api (Penalti Lebih Be­rat) 1971 yang mana, sabit kes­alahan boleh dihukum penjara sehngga 14 tahun dan sebatan tidak melebihi enam kali.

Beliau turut menyifatkan pistol buatan sendiri itu dibuat dengan sempurna, seolah-olah dibuat dari kilang, namun tidak berjenama.

“Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai mak­lumat berkenaan kejadian jenayah atau perkara yang mencurigakan di persekitaran mereka supaya menyalurkan maklumat kepada polis,” katanya.

Orang ramai boleh meng­hubungi Pegawai Penyiasat Kanan IPD Kuching ASP Naazron Abdul Yusuf di talian 082-244444 atau balai polis berhampiran.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan