Selasa, 11 September 2012

Tiga Warga Brunei Ditahan Kerana Miliki Dadah

Ketiga-tiga suspek diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret 

LIMBANG: Bertindak hasil maklumat orang awam polis berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita warga Brunei kerana kesalahan memiliki dadah ketika memasuki daerah ini hujung Ogos lepas.

Dalam kejadian jam 5.55 petang itu, kedua-dua lelaki berusia 45 dan 32 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan ditangkap bersama 27 gram dan 3.5 gram dadah jenis syabu.

Manakala suspek wanita 30-an yang juga teman wanita kepada salah seorang suspek ditahan kerana memiliki 0.3 gram syabu.

Ketua Polis Daerah Limbang Superitenden Mohd Bukhori Saffai berkata tangkapan dilakukan hasil maklumat dan pemantauan daripada Bahagian Narkotik Limbang sebelum mereka ditahan berhampiran kawasan Limpaki hujung Ogos lepas.

Mohd Bukhori berkata lagi ketiga-tiga suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Limbang Khamis lepas untuk tahanan reman dan pertuduhan kes.

“Suspek yang berusia 45 dibebaskan dengan jaminan Mahkamah selepas membayar wang jaminan sebanyak RM16,500.

“Namun teman wanitanya yang bekerja sebagai pembantu kantin di Kampung Jerudong dan rakan lelakinya ditahan kerana gagal membayar denda sebanyak RM3,500 dan RM15,000,” katanya kepada pemberita semalam.

Jelasnya kedua-dua suspek yang gagal membayar denda dipenjara sehingga sebutan semula kes di Mahkamah Majistret 20 September ini.

Beliau berkata lagi ketiga-tiga suspek berasal dari Kampung Bengkurong dan Kampung Sungai Matan didapati positif dadah selepas ujian air kencing dilakukan ke atas ketiga-tiga mereka. Katanya dadah tersebut dibawa dari Brunei untuk kegunaan sendiri.

Mohd Bukhori memberitahu lagi, Bahagian Narkotik Daerah mempunyai hubungan dan kerjasama rapat dengan Brunei dalam pertukaran maklumat khususnya berkaitan pencegahan jenayah.

Beliau turut memohon kerjasama orang awam agar terus menyalurkan maklumat kepada polis terhadap sebarang aktiviti jenayah yang berlaku di daerah ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan