Selasa, 11 September 2012

Lima Ahli ‘Igat Tender’ Ditangkap


MIRI: Polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes pecah rumah dan curi di bahagian ini dengan tertangkapnya lima suspek termasuk seorang wanita yang dipercayai ahli ‘Igat Tender’.

Kesemua suspek yang berusia antara 14 hingga 40-an telah ditangkap dalam dua serbuan berasingan masing-masing di kawasan Permyjaya dan Vista Perdana di sini.

Menurut sumber, polis telah bertindak mengekori suspek pertama berusia lingkungan 40-an sejak jam 2 petang kelmarin kerana berkelakuan mencurigakan dan berjaya menangkapnya bersama seorang lagi suspek sekitar jam 9 malam hari sama di kawasan Permyjaya di sini.

Soal siasat lanjut ke atas kedua-dua suspek telah membawa kepada penangkapan tiga lagi suspek pada jam 1 dan 2 pagi semalam di sebuah rumah di Vista Perdana di sini.

Polis yang kemudian membuat pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan telah merampas beberapa barang seperti barang kemas, sebuah komputer riba, sebuah iPad, satu unit televisyen 32 inci dan lima unit telefon bimbit dipercayai barang curi untuk dijadikan barang kes.

Kesemua suspek dikatakan giat melakukan kes samun bersenjata dengan menggunakan pisau dan parang sejak beberapa tahun lalu.

Terbaharu, mereka dipercayai terbabit dalam kes samun bersenjata ke atas dua wanita dalam dua kes berasingan yang dilaporkan berlaku masing-masing di kawasan Lutong dan Permyjaya di sini petang kelmarin.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan