Selasa, 11 September 2012

Sindiket Curi Kenderaan Tumpas

Mun menunjukkan nombor enjin kereta yang telah dileburkan menghilangkan bukti

MIRI: Polis Miri berjaya menumpaskan satu sindiket curi kenderaan dengan tertangkapnya tiga lelaki termasuk seorang pemilik bengkel dan merampas 17 enjin kenderaan yang dianggarkan bernilai RM1 juta dari bengkel berkenaan baru-baru ini.Ketua Polis Daerah Miri ACP Mun Kock Keong ber­kata, dengan tangkapan dan rampasan itu, polis percaya dapat menyelesaikan tujuh kes kecurian kenderaan yang dilaporkan hilang di Miri antara bulan Februari hingga September tahun ini.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan lanjut polis, tujuh daripada 17 enjin kend­eraan yang dirampas itu disa­hkan milik tujuh kenderaan yang telah dilaporkan hilang di sini sepanjang tempoh tujuh bulan tersebut.

Menurut Mun, daripada tujuh enjin itu, dua dari­padanya milik kenderaan jenis Perodua Kancil, empat Proton Wira dan sebuah lagi Proton Iswara.

Manakala 10 buah lagi enjin kebanyakannya milik kereta jenis Proton Wira masih be­lum dapat dipastikan meman­dangkan nombor enjin dan nombor casis telah dikikis.

“Setakat ini, kami telah mengenal pasti tujuh dari­pada 17 enjin kenderaan yang dirampas sebagai milik kenderaan yang dilaporkan hilang.

“Justeru kami percaya telah dapat menyelesaikan tujuh kes curi kenderaan,” katanya sambil menyifatkan rampasan itu satu kejayaan besar yang dibuat polis Miri tahun ini.

Sehubungan itu kata Mun, pihaknya akan meminta ban­tuan pasukan forensik untuk menimbulkan semula nombor enjin yang telah dikikis sekali gus mengenal pasti sama ada ia milik kenderaan yang dilapor­kan hilang atau sebaliknya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di bilik mesyuarat Balai Polis Pusat Miri di sini tengah hari semalam.

Menyentuh lanjut tentang kejayaan itu, Mun berkata bertindak atas maklumat diterima, pada jam 11.55 malam, 7 September lalu, se­pasukan polis dengan diketuai Ketua Balai Polis Pusat Miri, Inspektor Nagulan Maniam telah menyerbu sebuah beng­kel kenderaan di Lorong 6, Krokop di sini.

Dalam serbuan itu, polis te­lah menjumpai sebuah kereta Proton Saga yang menggu­nakan nombor pendaftaran palsu dan enjin curi.

Polis yang kemudian mem­buat pemeriksaan lanjut di bengkel berkenaan telah merampas 17 enjin kender­aan dipercayai curi keban­yakannya milik kereta jenis Proton Wira, sebuah kereta jenis Wira dengan bahagian badannya telah dipotong serta beberapa komponen kender­aan yang lain.

“Hasil soal siasat awal yang dibuat ke atas pemilik bengkel berkenaan telah membawa kepada penangkapan dua lagi suspek masing-masing berusia 55 dan 29 tahun di­percayai rakan sepenjenayah pemilik bengkel berkenaan pada awal pagi, 8 September lalu di kawasan Permyjaya,” katanya.

Justeru katanya, polis akan menjalankan siasatan lanjut ke atas ketiga-tiga suspek terba­bit yang kemungkinan ada terlibat dalam lain-lain kes curi kenderaan sama ada di Miri atau daerah-daerah lain.

Sehubungan itu, Mun me­nasihati orang ramai teru­tama pemilik kenderaan agar memasang kunci tambahan sama ada pada bahagian brek, stering atau klutch kenderaan masing-masing sebagai lang­kah keselamatan.

“Bukan kita kata bila ada kunci tambahan sesuatu ken­deraan itu tidak dapat dicuri tetapi sekurang-kurangnya ia akan menyukarkan serta melambatkan proses kecurian tersebut,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan