Isteri mangsa menangis melihat suaminya mati di Pasar Sentral di Sibu semalam
SIBU: Seorang pengawal keselamatan yang bekerja di Pasar Sentral Sibu dijumpai mati di gerai menjual buah-buahan di pasar terbabit, semalam.
Mangsa dikenali sebagai Belawan Rebut, 67, dari Bintangor dikatakan bekerja syif malam dan dijumpai mati sekitar jam 6 pagi setelah tamat syifnya.
Syif mangsa difahamkan dari jam 6 petang hari Ahad hingga 6 pagi hari Isnin (semalam) dan mangsa dikatakan baharu sahaja bekerja menjadi pengawal di pasar terbabit setelah berjaya dalam temu duganya pada hari Sabtu lalu.
Semasa menghampiri jam 6 pagi selepas melakukan rondaan di kawasan pasar terbabit, mangsa dipercayai kelihatan tidak sihat dan mencari kerusi untuk berehat namun tidak menjumpai sebarang kerusi di situ.
Mangsa dikatakan rebah dan sempat menelan pil penahan sakit sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.
Para penjaja menjumpai mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri semasa membuka gerai pada pagi itu dan kemudian menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk mendapatkan bantuan.
Rakan sekerja mangsa kemudian menghubungi isterinya untuk memaklumkan perkara terbabit namun pada mulanya isterinya menganggap ia hanya gurauan.
Isteri mangsa kemudian bergegas ke tempat kejadian dan terkejut melihat tubuh suaminya sudah pun kaku. Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan