
LIMBANG: Kegiatan tiga remaja termasuk dua yang masih bersekolah menjadikan rumah tumpangan di Jalan Buangsiul sebagai sarang penagihan dadah sejak lebih sebulan lalu terbongkar selepas serbuan oleh Bahagian Narkotik Daerah, petang kelmarin.
Operasi membabitkan seorang pegawai bersama tujuh anggota diketuai Ketua Bahagian Narkotik, ASP Anuar Md Ghazali itu menyerbu rumah tumpangan terbabit sekitar jam 4.50 petang.
Dalam serbuan itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun bersama dua remaja perempuan berusia 15 dan 19 tahun dicekup di dalam sebuah bilik bersama 0.56 gram dan 0.06 gram syabu disembunyikan di badan mereka.
Menurut Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Mohd Bukhori Saffai kesemua suspek yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Limbang untuk menjalani ujian saringan air kencing dan kesemua mereka didapati positif dadah.
Siasatan awal juga mendapati, ketiga-tiga remaja terbabit menjadikan rumah tumpangan itu sebagai tempat untuk melepas gian bersama rakan-rakan mereka.
Jelas Bukhori lagi, tangkapan dilakukan hasil maklumat orang awam yang menghubungi pihaknya sebelum membuat intipan dan serbuan.
“Ketika serbuan dilakukan ketiga-tiga remaja tersebut sedang berbaring dan tergamam dengan kehadiran anggota kita,” katanya. Tambah Mohd Bukhori, ketiga-tiga remaja itu ditahan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (A) ADB 1952 kerana positif dadah.
“Kesemua suspek dibawa ke mahkamah petang semalam (kelmarin) bagi permohonan reman untuk tujuan siasatan lanjut,” ujarnya.
Katanya, kerjasama orang ramai dalam memberi maklumat tentang salah guna dadah di kawasan mereka sememangnya amat dialu-alukan. Menurutnya, dengan cara itu, bilangan penagih dadah dapat dikurangkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan