Khamis, 20 September 2012

Dua Pencuri Ditangkap Dengan Bantuan Anjing

Gambar Hiasan

SIBU: Tindakan seorang penghuni membuat aduan mengenai kes kecurian yang sering berlaku di kawasan perumahan di Jalan Wong King Huo dan Jalan Jerruwit dekat sini telah membawa kepada penangkapan dua suspek lelaki malam kelmarin.

Menurut laporan, orang awam ternampak dua lelaki yang cuba melarikan diri ke kawasan semak setelah mereka cuba mencuri pagar besi sebuah rumah di kawasan perumahan di situ.

Pihak polis daripada Balai Polis Lanang telah mengerahkan sepasukan polis peronda MPV ke tempat kejadian untuk pergi melakukan siasatan pada jam 9.30 malam.

Bagaimanapun, polis terpaksa meminta bantuan unit anjing pengesan kerana keadaan gelap yang menyukarkan anggota polis menjejaki dua suspek yang dikhuatiri masih menyembunyikan diri di dalam semak.

Tatkala pihak berkuasa sedang berusaha mengesan dua penjenayah tersebut, anjing pengesan polis meluru ke satu arah semak dan terus menggigit bahu kanan salah seorang daripada suspek.

Akibat gigitan anjing itu, suspek yang pertama dijumpai dalam keadaan cedera manakala seorang lagi suspek berjaya ditangkap polis tidak lama selepas itu.

Siastan awal polis mendapati kedua-dua suspek berketurunan Melayu dan berasal dari Kampung Jeriah masing-masing berumur 21 dan 24 tahun.

Kedua-dua suspek kini berada di lokap dan dijangka akan direman mulai hari ini sementara menunggu siasatan lanjut polis.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan