Selasa, 5 Mac 2013

Michael Disemadi Di Makam Pahlawan


Balu mendiang Michael, Jabah dan anaknya Maxluei ditenangkan oleh ahli keluarga

KUCHING: Mendiang ASP Michael Padel, 36, antara enam anggota polis yang terkorban dalam serangan penceroboh bersenjata di Kampung Seri Jaya, Simunul Semporna, Sabah petang Sabtu lalu menjadi anggota polis yang pertama dimakamkan di Makam Pahlawan, Jalan Taman Budaya di sini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Arcyl Sani Abdullah Sani berkata ia hasil persetujuan kerajaan negeri yang mana upacara pengebumian mengikut adat istiadat polis dijadualkan pada Rabu ini sekitar 11 pagi.

Arcyl ketika ditemui selepas upacara terakhir sebaik sahaja mayat mendiang tiba di Kuching semalam berkata, pihaknya akan menguruskan segala urusan berkaitan pengebumian itu nanti.

“Kerajaan negeri telah memberikan persetujuan untuk mengebumikan mendiang di Makam Pahlawan dan kami akan bergerak ke arah tersebut.

“Upacara itu akan dilakukan pada hari Rabu ini sekitar jam 11 pagi dan ini merupakan penghargaan kerajaan negeri terhadap pengorbanan yang mendiang lakukan demi keselamatan negara kerana mendiang merupakan anak jati Sarawak,” katanya.

Pada masa yang sama beliau memberitahu, kerajaan pusat turut akan menguruskan keperluan tertentu kepada ahli keluarga mendiang.

Mendiang Michael yang merupakan anak bongsu daripada tiga adik-beradik mula bertugas sebagai anggota polis pada 2000.

Kemudian pada 22 Oktober 2001, mendiang ditugaskan di Cawangan Khas (Bahagian E4) IPK Sabah sebelum ditugaskan di IPD Kunak, Sabah selama sembilan tahun.

Pada 25 Mac 2011, mendiang menyandang jawatan ASP Ekonomi/Ancaman Luar di IPD Tawau, Sabah sebelum ditugaskan di IPD Semporna Sabah sebagai ketua Cawangan Khas.

Mendiang meninggalkan seorang balu, Jabah Mingku dan seorang anak Maxluei yang berusia 11 tahun.

Sementera itu, Pengerusi Persatuan Bekas Polis Sarawak Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut meluahkan rasa simpati atas ke-hilangan wira negara itu.

Justeru, beliau menggesa tindakan tegas perlu diambil terhadap penceroboh itu yang dikatakan tidak berperikemanusiaan.

“Mereka adalah penceroboh atau pengganas yang harus diberi pengajaran yang sewajarnya atas pencabulan kedaulatan negara kita,” tegasnya. - UTUSAN BORNEO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan