Selasa, 5 Mac 2013

Banduan Dipenjara Kerana Dadah


MIRI: Seorang banduan dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pagi semalam kerana kesalahan menggunakan dadah berbahaya jenis amphetamine dan methamphetamine.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan selama tempoh dua tahun sebagaimana yang ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Annuar Sahar, 27, dari Jalan Maigold Desa Senadin di sini telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara dua tahun, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati telah menggunakan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine yang terkandung dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan bahan dadah tersebut ke dalam tubuh sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1.30 petang, 2 November tahun lalu di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di sini.

Di hadapan mahkamah, tertuduh yang tidak diwakili merayu hukuman yang ringan dan memohon agar hukuman yang bakal dikenakan ke atasnya dijalani serentak dengan hukuman penjara tiga bulan bagi kesalahan lain yang sedang dijalaninya sekarang.

Bagaimanapun, Majistret Lovely Natasha Charles memerintahkan hukuman penjara tiga bulan ke atasnya pagi dijalani secara berasingan dengan hukuman terdahulu memandangkan dua kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah berbeza.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan