Isnin, 11 Mac 2013

Penceroboh Tidak Layak Gelar Diri Tentera Kesultanan Sulu


LAHAD DATU: Kumpulan pengganas Sulu yang menceroboh di Kampung Tanduo, kira-kira 130km dari sini, tidak layak menggelarkan diri mereka sebagai “Tentera Diraja Kesultanan Sulu” kerana tindakan mereka yang ganas dan mengancam kehidupan masyarakat setempat terutamanya masyarakat Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata, orang yang mengganas tidak layak disamakan dengan satu pasukan yang terhormat seperti tentera.

“Jangan lagi menggelarkan kumpulan pengganas itu sebagai Tentera Diraja Kesultanan Sulu dan masyarakat Sulu di Sabah juga tidak wajar dikaitkan dengan kumpulan itu yang melakukan kejahatan dan bertindak ganas.

“Jahat tiada kaitan dengan nama kaum…jahat adalah atas sebab tamak, gila kuasa, kurang iman dan mempunyai nilai-nilai kehaiwanan,” katanya pada majlis perjumpaan dengan ketua-ketua masyarakat Suluk di sini malam kelmarin.

Beliau berkata, masyarakat Suluk di Sabah boleh berjaya dalam kehidupan jika mereka rajin berusaha.

Ops Daulat yang dilancar bagi memburu saki-baki penceroboh bersenjata dari selatan Filipina itu masuk hari keenam semalam dengan 53 penceroboh militan dilaporkan terbunuh dalam operasi itu.

Sejak pencerobohan militan pada 12 Feb lepas, lapan anggota polis terkorban iaitu dua wira terkorban dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan enam lagi dalam serang hendap di Semporna pada 2 Mac. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan