Isnin, 11 Mac 2013

Remaja Lelaki Maut Dalam Operasi Buru Penceroboh

Anggota polis Unit Tindakan Khas (UTK) 

LAHAD DATU: Seorang re­maja lelaki maut dan seorang lelaki cedera di kaki setelah terkena tembakan pasukan keselamatan dalam operasi memburu penceroboh di Kampung Sungai Bilis dekat sini semalam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata kejadian pada jam 9.45 pagi itu berlaku ketika pasukan keselamatan sedang melakukan pemerik­saan ke atas lima individu yang berada dalam Zon Merah berhampiran Kampung Tan­jung Batu.

“Ketika pasukan keselama­tan sedang bergerak menjejak pengganas di kawasan sasaran di Kampung Sungai Bilis, muncul dua lelaki dan tiga wanita dewasa dari kawasan belukar berhampiran.

“Mereka segera ditangkap dan ketika sedang diperiksa kedengaran bunyi perger­akan dari kawasan belukar berdekatan di mana pasukan keselamatan secara spontan telah melepaskan tembakan ke arah belukar itu,” katanya pada sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di markas Ops Daulat FELDA Sahabat 16 di sini.

Beliau berkata pemerik­saan segera yang dilakukan mendapati remaja lelaki itu yang dipercayai berusia antara 12 dan 15 tahun, terbunuh manakala seorang lelaki 30-an, cedera di kaki.

Ismail berkata susulan itu, pasukan perubatan dikerah ke tempat kejadian untuk mem­beri bantuan kepada mangsa sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah sia­sat dan rawatan lanjut.

Katanya kesemua mereka, termasuk yang cedera dan terbunuh tidak mempunyai dokumen pengenalan diri manakala tiga wanita dan dua lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan lain, Ismail mengesahkan enam individu ditahan di Semporna semalam mengikut Seksyen 130 (c) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Akta Kesala­han Keselamatan (Langkah-langkah Khas) kerana disyaki mempunyai kaitan dengan militan penceroboh.

Beliau berkata dua dari­padanya ditahan di Kampung Perigi Simunul pada jam 6.30 pagi dan selebihnya di Batu 1.5 Jalan Tawau-Semporna kira-kira dua jam selepas itu.

Ismail berkata sehingga kini seramai 96 orang ditahan ker­ana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh manakala 66 orang lagi di­tahan kerana memasuki zon larangan dalam kawasan Ops Daulat. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan