Sabtu, 1 Disember 2012

Angkara Khianat

11 buah motosikal hangus terbakar disyaki angkara perbuatan khianat di Kajang

KAJANG – Malang menimpa 11 pemilik motosikal apabila kenderaan milik mereka itu hangus terbakar disyaki angkara perbuatan khianat pihak tertentu di Pangsapuri Kos Rendah Taman Tasik, Sungai Chua di sini semalam.

Kejadian yang menggemparkan kira-kira 200 penduduk itu disedari pada pukul 3.10 pagi selepas sebahagian mereka ternampak motosikal yang diletakkan di tingkat bawah bangunan sembilan tingkat tersebut terbakar.

Salah seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Khalil, 46, memberitahu, dia terjaga sebaik terdengar bunyi letupan sebelum disusuli api yang membakar kesemua motosikal yang diletakkan di situ.

Dakwanya, kebanyakan penghuni pangsapuri tersebut merupakan warga asing dan mereka sering berkumpul pada waktu malam untuk tujuan tertentu.

Bagaimanapun, pada malam kejadian, dia tidak melihat warga asing tersebut berkumpul dan membuat kecoh.

“Tidak lama kemudian, rata-rata penghuni turun tetapi hanya mampu melihat motosikal itu hangus dijilat api yang marak dalam sekelip mata.

“Walaupun api tidak merebak ke rumah namun, jelaga dan asap tebal masuk ke kediaman kami menyebabkan kami terpaksa mengeluarkan modal untuk membersihkannya pula,” ceritanya ketika ditemui semalam.

Seorang lagi mangsa memberitahu, dia kerugian lebih RM2,000 apabila motosikal jenis Honda miliknya hangus.

“Susahlah saya hendak ke tempat kerja selepas ini kerana saya hanya ada sebuah motosikal sahaja,” katanya yang percaya kejadian itu berpunca daripada perbuatan khianat.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul memberitahu, sebaik api dipadamkan 30 minit kemudian, pihaknya mendapati sebanyak 11 buah motosikal hangus.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, kes disiasat mengikut 435 Kanun keseksaan iaitu melakukan khianat dengan api. Setakat semalam, tiada tangkapan dibuat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan