Selasa, 18 Disember 2012

Empat Suspek Kes Bunuh

Kaju membantu kakitangan HUS mengangkat bungkusan mayat anaknya.

KUCHING: Polis menangkap empat lelaki dalam lingkungan usia 20-an setelah disyaki terbabit dalam kes pembunuhan Langgang Kaju, 22, di sebuah kampung di Tanjung Binjat, Sri Aman.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sri Aman ASP Ang Tuan Pek memberitahu, keempat-empat suspek itu ditangkap petang kelmarin di kawasan sama tempat pembunuhan berlaku.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan senjata kecil untuk membunuh mangsa.

“Kami menangkap empat suspek (pada Ahad) untuk membantu siasatan dan menahan reman mereka selama tujuh hari bermula Isnin untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi pemberita, semalam.

Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, mayat mangsa tiba di HUS sekitar jam 1.30 petang semalam untuk tujuan bedah siasat.

Mangsa yang berasal dari Kampung Sungai Sembilang, Tanjung Bijat ditemui mati disyaki akibat ditikam di kawasan tersebut pada awal pagi Ahad. Langgang disyaki dibunuh selepas bergaduh dengan beberapa lelaki.

Bapa mangsa yang hanya dikenali sebagai Kaju percaya motif pembunuhan itu berunsurkan dendam berikutan pertengkaran di majlis perkahwinan pada malam sebelum kejadian.

“Petang Sabtu ada majlis perkahwinan di kawasan kampung kami dan mungkin wujud pergaduhan selepas sesi minum,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Umum Sarawak di sini, semalam.

Mangsa merupakan anak sulung daripada dua beradik yang cedera parah di bahagian dada ditemui dalam keadaan tidak bernyawa oleh rakan mangsa di tepi jalan raya sekitar jam 4 pagi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan