Selasa, 18 Disember 2012

Parah Jatuh Lif

Selepas terjatuh, mangsa turut dihempap dua tong gas

KOTA KINABALU: Seorang jurukimpal hampir maut setelah terjatuh dari tingkat dua ketika sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di sebuah premis menjual enjin sangkut di Kompleks Segama, di sini kelmarin.

Dalam insiden berlaku sekitar jam 12 tengah hari terbabit, mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30an mengalami kecederaan parah di bahagian tangan serta kakinya setelah terjatuh dari lif pengangkut barang yang digunakan untuk ke tingkat dua premis berkenaan.

Lebih mengerikan, ketika terjatuh mangsa turut difahamkan dihempap dua tong gas setinggi empat kaki yang dibawa ke tingkat atas bagi kerja-kerja kimpalan berkenaan.

Seorang saksi yang dikenali Fenny Arrifin, 19, berkata dalam kejadian itu, dia bersama seorang rakan sekerja sedang menikmati makan tengah hari di sebuah restoran berhampiran lokasi kejadian.

“Ketika itu, kami sedang makan soto dan tidak semena-mena kedengaran satu benda jatuh berdentum kuat dari tingkat atas bangunan diselangi jeritan seorang lelaki.

“Bimbang berlaku kejadian buruk, kami serta pelanggan-pelanggan yang lain terus meluru keluar dari restoran untuk memeriksa punca bunyi itu.

“Ketika tiba di perkarangan lokasi itu, saya melihat seorang lelaki sedang menahan kesakitan dan badannya berlumuran darah,” katanya yang ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berkata pihaknya menerima panggilan sekitar jam 12.30 tengah hari mengenai insiden berkenaan.

Mangsa difahamkan telah digegaskan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk menerima rawatan lanjut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan