Sabtu, 15 Disember 2012

Kes Pemberi Pinjaman Wang Berlesen

Hj Abd Latif Ibrahim

TAWAU: Masih wujud syarikat-syarikat pemberi pinjaman wang berlesen dan pemegang pajak gadai di negeri ini yang melanggar syarat ataupun peraturan mempamer dan mengedarkan iklan mereka.

Menurut Ketua Unit Unit Penguatkuasaan Bahagian Pemberi Pinjam Wang dan Pemegang Pajak Gadai (BPWG) Sabah, Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan, Superitendan Hj Abd Latif Ibrahim, pelbagai taktik dikesan dilakukan oleh pihak-pihak terbabit.

“Kita mengadakan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan syarikat-syarikat yang melakukan kesalahan sebegini dan sekiranya ada yang didapati melanggar syarat ditetapkan mereka boleh disenarai-hitam.

“Jika dulu mereka mempamerkan iklan-iklan di premis-premis tetapi sekarang mereka meletakkan di kenderaan-kenderaan,” katanya di sini kelmarin sambil menambah, tindakan penguatkuasaan berhubung perkara itu giat dilaksanakan di seluruh negeri.

Difahamkan, iklan-iklan yang melanggar peraturan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 merupakan iklan-iklan yang disiarkan tanpa menyenaraikan nombor lesen pemberi pinjam wang dan tarikh, nombor permit iklan, nama syarikat, kadar faedah dan sebagainya.

Ketika ditanya sekiranya terdapat kes syarikat pemberi pinjaman wang berlesan dan pemegang pajak gadai yang bertindak ala ah long (samseng) semasa menuntut hutang peminjam pula, beliau menafikan pihaknya ada menerima laporan sedemikian.

“Kita pernah menerima aduan daripada orang awam (peminjam wang) yang mendakwa diganggu (diugut) oleh pihak-pihak terbabit, tetapi selepas siasatan kita dapati pengadu tidak membayar hutangnya dalam tempoh yang lama.

“Si pemberi pinjaman sebenarnya hanya bertanya bila si peminjam mahu membayar hutangnya secara baik dan dalam kes sebegini kita akan melihat dari segenap sudut sekiranya menerima aduan untuk menyiasat kesahihan dakwaan yang diajukan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Abd Latif mengingatkan syarikat-syarikat pemberi pinjaman wang berlesen dan pemegang pajak gadai di negeri ini agar memastikan setiap lesen mereka hanya digunakan untuk satu premis sahaja dan tidak boleh digunakan lebih daripada satu premis.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan