Selasa, 18 Disember 2012

Bot Karam, Seorang Hilang

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Aktiviti memancing lima sekawan ketika musim cuti sekolah bertukar tragedi setelah salah seorang daripada mereka hilang dan dikhuatiri lemas apabila bot dinaiki karam berhampiran Pulau Mengalum, dekat sini kelmarin.

Mangsa lelaki berusia 25 tahun yang masih belum dikenal pasti identitinya itu difahamkan keluar memancing ke laut bersama empat rakannya yang lain pada Ahad lepas.

Keempat-empat rakan lain berjaya menyelamatkan diri dari tragedi itu dengan berenang ke pantai berdekatan sementara mangsa dikatakan hilang pada insiden berkenaan.

Rakan-rakan mangsa kemudiannya telah memaklumkan kejadian terbabit kepada ahli keluarga masing-masing sebelum laporan polis dibuat.

Timbalan Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Superitendan M Chandra berkata laporan telah dibuat oleh ibu mangsa di pejabat polis Karamunsing pada Isnin lalu.

“Operasi mencari telah dilaksanakan Isnin lepas oleh polis marin namun terpaksa ditangguh kerana hari semakin gelap,” katanya sambil menambah, operasi dimulakan semula sekitar jam 6 pagi kelmarin.

Chandra turut menasihatkan ramai agar meningkatkan keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut khususnya pada musim hujan ini bagi mengelak kejadian tidak diingini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan