Seorang penduduk menunjukkan bukti tentang khabar angin tersebut
BANGALORE - Ribuan penduduk meninggalkan bandar-bandar di selatan India semalam selepas khabar angin tersebar bahawa mereka akan diserang oleh orang Islam dalam tindak balas berhubung keganasan etnik yang berlaku baru-baru ini, kata beberapa pegawai.
Beberapa pegawai kereta api berkata, mereka menambah perkhidmatan kereta api dari sini menuju ke negeri Assam di timur laut negara berkenaan bagi memenuhi permintaan orang ramai selepas 6,000 tiket telah dijual sejak kelmarin.
Pihak berkuasa memberitahu, khabar angin itu disebarkan melalui laman sosial seperti Twitter, telefon bimbit dan internet.
Orang ramai yang tiba di Guwahati di negeri Assam turut memberitahu stesen televisyen tempatan bahawa mereka membuat keputusan pada saat-saat akhir untuk meninggalkan Hyderabad dan negeri Kerala di selatan India.
Seorang daripada mereka, Anirban Das memberitahu agensi berita AFP bahawa dia memutuskan untuk meninggalkan bandar ini selepas mendengar khabar angin tersebut.
"Kami mendengar bahawa kami akan diserang, justeru saya menaiki sebuah kereta api dan tiba di bandar Guwahati," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, polis India menyatakan, mereka kini menyiasat sumber dan pihak yang bertanggungjawab menyebarkan khabar angin itu.
"Pengacau-pengacau ini menyalahgunakan media sosial dan internet untuk menyebarkan khabar angin dan mencetuskan ketakutan kepada penduduk di selatan negara ini," kata Timbalan Ketua Polis Bangalore, Vincent S. D'Souza.
Sebelum ini, pertempuran selama tiga minggu antara puak Bodo dengan penduduk Islam telah meragut 80 nyawa dan menyebabkan 400,000 orang menjadi pelarian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan