Jumaat, 7 Disember 2012

Didakwa Bunuh Pekerja Bengkel


SIBU: Empat lelaki dan seorang juvana berusia 14 tahun dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan membunuh seorang pekerja bengkel motosikal, dua minggu lepas.

Tertuduh, Bonny Jilan, 20, Andrew Geliga, 21, Ricky Mesuddin, 20, Sharul Abdullah, 28, dan juvana berusia 14 tahun itu didakwa mengikut pertuduhan awal di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada kesemua tertuduh, yang didakwa membunuh Hendson Uka, 24, dalam satu kejadian di Jalan Belian pada tengah malam 23 November lepas.

Sementara itu, teman wanita mangsa yang berusia 17 tahun, yang sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan, dibenarkan bebas mengikut Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah dan akan dipanggi menjadi saksi pendakwa raya.

Berdasarkan laporan sebelum ini, Hendson diserang oleh sekumpulan lelaki menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala serta muka.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan cuba membaiki semula hubungan dengan bekas teman wanitanya itu di Jalan Tiong Hua.

Dalam pertemuan itu, bekas teman wanitanya memberitahu beliau tidak berminat untuk rujuk semula, menyebabkan mangsa marah lalu menampar bekas teman wanitanya itu.

Perbuatan itu disedari oleh rakan-rakan bekas teman wanita mangsa, sebelum mereka berjalan menuju ke Jalan Belian.

Tidak lama kemudian, mangsa dikatakan telah diserang oleh sekumpulan lelaki yang dipercayai rakan kepada bekas teman wanita mangsa.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan