Jumaat, 7 Disember 2012

Cubaan Rompak Stesen Minyak

Gambar Hiasan

MIRI: Seorang tukang kimpal yang ditangkap kerana disyaki cuba melakukan rompakan ke atas sebuah stesen minyak diperintahkan Mahkamah Majistret petang semalam supaya direman tujuh hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Perintah itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mohd Redza Azhar Rezali setelah membenarkan permohonan reman yang dikemukakan pegawai penyiasat Inspektor Asyraq Raime dari Balai Polis Pusat Miri.

Dalam permohonannya, Asyraq memberitahu pada awal pagi semalam, seorang pekerja di stesen minyak terbabit telah membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri.

Dalam aduannya, pengadu mendakwa sekitar jam 3.20 pagi semalam, ketika sedang bertugas di stesen minyak terbabit yang terletak di Jalan Miri Bypass, tiba-tiba dia ternampak sebuah kenderaan jenis Nissan Frontier memasuki kawasan stesen berkenaan.

Kenderaan itu dilihat berpusing-pusing beberapa kali sebelum terlanggar dinding pagar bangunan stesen dan kemudian berhenti di hadapan pintu.

Setelah itu, seorang lelaki tidak dikenali dan bertopeng serta memakai topi kaledar berwarna merah dilihat keluar dari kenderaan tersebut sambil membawa sebatang besi dan cuba membuka pintu kedai (stesen) dengan kasar, namun gagal.

Pengadu tidak mengendahkan lelaki terbabit dan kemudian menghubungi majikannya untuk memaklumkan kejadian tersebut.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 4.30 pagi semalam, polis telah menangkap suspek di kawasan stesen minyak terbabit kerana disyaki cuba melakukan rompakan di situ.

Dalam permohonan lanjutnya, Asyraq memberitahu reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas suspek yang berusia 23 tahun dari Pujut 1D di sini amat diperlukan untuk membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini.

Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk merakam percakapan berhemat suspek dan membebaskan dia lebih awal akan menjejaskan siasatan lanjut polis.

Mahkamah membenarkan reman itu dan menetapkan 13 Disember ini untuk sebutan kes.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan