Jumaat, 7 Disember 2012

Kebakaran Motosikal Di Bintulu

Keadaan motosikal terbabit yang dijilat api, semalam

BINTULU: Sebuah motosikal terbakar secara tiba-tiba berdekatan sebuah perhentian bas menggemparkan orang ramai di Assyakirian Commercial Centre Medan Raya di sini, pagi semalam.

Setakat ini, pemilik motosikal jenis Modenas itu belum diketahui dan kebakaran itu telah menarik perhatian pengguna jalan raya lain yang ingin melihat kejadian itu lebih dekat.

Seorang pekerja am yang enggan namanya disiarkan berkata, beliau baharu sahaja tiba di kawasan itu untuk membersihkan kawasan persekitaran pusat komersial di situ dan menyaksikan dua lelaki saling kejar-mengejar.

“Tetapi saya tidak pasti puncanya namun saya dimaklumkan telah berlaku kejadian curi motosikal sebelum itu membabitkan dua lelaki,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat di sini berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada pihak polis di Balai Polis Pusat di sini pada jam 7.32 pagi.

“Setibanya di tempat kejadian, kami mengambil masa 13 minit untuk memadam kebakaran motosikal itu,” jelasnya.

Katanya, pihaknya berjaya mengawal api daripada merebak ke tempat lain dan berdasarkan siasatan awal, kebakaran motosikal itu dipercayai akibat perbuatan khianat. - UTUSAN BORNEO


Tiada ulasan:

Catat Ulasan