Rabu, 5 Disember 2012

Kate Middleton Hamil

Putera William dan Kate

LONDON - Isteri kepada Putera William, Kate Middleton atau Duchess of Cambridge, Catherine, terpaksa bermalam di hospital untuk dirawat akibat alahan mengandung yang teruk selepas pengumuman bahawa pasangan diraja berkenaan dijangka menyambut anak pertama mereka.

Keluarga diraja Britain itu mendedahkan berita gembira tersebut pada Isnin, sekali gus menamatkan spekulasi hangat mengenai bayi yang bakal menjadi raja Britain sama ada ia lelaki atau perempuan.

Ratu Elizabeth II dan seluruh keluarga diraja nyata gembira dengan berita kehamilan Kate. William dan bapanya, Putera Charles telah melawat Kate di Hospital King Edward VII di tengah London, jelas sumber istana.

Bayi itu bakal menjadi pewaris takhta diraja Britain selepas Charles dan William tanpa mengira jantinanya berikutan kerajaan Britain mahu menggubal undang-undang lama yang sebelum ini memberi keutamaan kepada pewaris lelaki.

Menurut sumber istana, pasangan tersebut baru sahaja menyedari kehamilan Kate. Agensi berita The Press Association melaporkan kehamilan itu masih belum memasuki minggu ke-12, tetapi pengumuman itu didorong oleh kondisi perubatan Kate.

Kate dimasukkan ke hospital pada Isnin kerana mengalami hypermesis gravidarum, iaitu alahan teruk yang memerlukan hidrasi dan nutrien tambahan.

"Memandangkan kehamilan masih di peringkat awal, beliau dijangka berada di hospital untuk beberapa hari lagi. Kate juga memerlukan masa untuk berehat," jelas kenyataan dari istana.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan isteri, Michelle yang ada bertemu dengan keluarga diraja itu ketika lawatan mereka ke Britain tahun lalu menyampaikan ucapan tahniah mereka. - AFP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan