Khamis, 6 Disember 2012

Kilang Tilam Terbakar


MIRI: Sebuah kilang tilam yang terletak di Kampung Bersatu, Batu 8 1/2, Lambir dekat sini musnah dalam kebakaran yang meranapkan hampir seluruh bangunan kilang itu pada jam 9.50 malam kelmarin.

Seorang saksi, Ismady Wahab, 30, yang bertindak menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat pada jam 9.50 malam, memberitahu pemberita api dipercayai bermula di bahagian barangan elektrik yang terdapat di kilang tersebut.

“Ketika saya menghubungi pihak bomba, api masih lagi kecil. Tetapi mungkin kerana angin kencang yang bertiup malam ini (malam kelmarin) telah memarakkan api hingga merebak ke bahagian lain kilang tersebut,” katanya.

Menurut Ismadi lagi, ketika kejadian berlaku, tiada pekerja berada dalam kilang kerana semuanya sudah kembali ke rumah penginapan pekerja berdekatan.

“Saya sudah tiga tahun tinggal di sini dan kebanyakan pekerjanya ialah warga Indonesia dan mereka tinggal tidak jauh dari rumah saya,” tambah beliau.

Sementara itu, sebuah jentera pemadam api telah dikejarkan ke tempat kejadian dengan anggota bomba terpaksa bertungkus-lumus memadamkan kebakaran kerana api merebak dengan begitu pantas.

Angin kencang juga memaksa pihak bomba bekerja lebih keras bagi memastikan percikan api tidak merebak ke kawasan rumah yang terletak berhampiran kilang tersebut.

Pemilik kilang tiba beberapa minit kemudian selepas dihubungi oleh kakitangannya.

Beliau bagaimanapun bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan pihak bomba masih lagi menyiasat punca sebenar kebakaran tersebut dan kerugian yang dialami. - UTUSAN BORNEO


Tiada ulasan:

Catat Ulasan