Khamis, 26 Julai 2012

Tanaman Di Bahu Jalan Ancam Keselamatan

MIRI: Tanaman yang ditanam secara sesuka hati di kawasan perumahan boleh menyebabkan kemalangan terhadap pengguna jalan raya.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai berkata, penduduk tidak harus berbuat demikian kerana ia menghalang dan mengehadkan penglihatan pemandu.

“Anda tidak boleh menanam tanaman di kawasan ini (bahu jalan) kerana ia adalah rizab jalan,” katanya ketika melawat Jalan Thai Poo, Riam semalam.

Beliau berkata demikian kerana ada antara penduduk di kawasan berkenaan yang menanam pisang terlalu dekat dengan jalan raya.

Menurutnya, penduduk sendiri harus bertanggungjawab jika ada kemalangan berlaku disebabkan perbuatan mereka itu.

Katanya jika penduduk prihatin terhadap pengguna lalu lintas, perkara berkenaan tidak sepatutnya berlaku.

“Ada yang tanam pokok buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga untuk perhiasan, selepas itu dibiarkan membesar begitu sahaja,” ujar beliau.

Turut bersama beliau dalam lawatannya adalah Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Kawasan Riam Kaunselor Chong Nyuk Lian - Utusan Borneo


Tiada ulasan:

Catat Ulasan