Khamis, 26 Julai 2012

Cegah Penyakit ‘Sindrom Marfan’


KUALA LUMPUR: Ibu bapa dan anak yang mempunyai simptom seperti kaki dan tangan yang panjang serta bentuk jari-jemari seakan labah-labah digalakkan menjalani ujian mengesan penyakit ‘Sindrom Marfan’, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng Sae Kie.

Beliau berkata ‘Sindrom Marfan’ ialah penyakit genetik yang boleh menyebabkan masalah injap jantung berkembang sehingga mungkin mengakibatkan pesakit mati mengejut.

Pesakit biasanya dikesan menghidap penyakit, yang sudah mencapai tahap serius, kerana penyakit genetik ini tidak mudah dikesan pada peringkat awal, katanya.

“Oleh itu, jangan pandang ringan terhadap simptom-simptom itu, sesiapa yang mempunyai simptom sedemikian diminta menjalankan pemeriksaan kesihatan dimana-mana hospital bagi pencegahan awal,” katanya kepada pemberita selepasmelawat kanak-kanak menghidap penyakit ‘Sindrom Marfan’, Choong Kai Sheng, 11,di Hospital Selayang, semalam.

Kai Sheng, yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur setelah mengadu sakit dada lalu pengsan pada 21 Jun lepas, disahkan menghidap penyakit itu selepas ayahnya meninggal dunia secara mengejut pada dua tahunlepas.

Kanak-kanak itu dipindahkan ke Hospital Selayang pada Jumaat lepas setelah keadaannya bertambah serius dan kini berada dalam keadaan koma.

Menurut Heng, selain Kai Sheng, dua lagi adik-beradiknya iaitu abangnya, Kai Yin, 14, dan adik perempuannya, Pui Leng, 9, turut disahkan menghidap penyakit genetik itu tetapi masih terkawal.

“Mereka sekeluarga termasuk ibunya akan menerima peruntukan daripada Yayasan Kebajikan Masyarakat di bawah kementerian sebanyak RM300 bermula 1 Ogos ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Hospital Selayang, Dr Mohd Suhaimi A. Majid berkata apabila ibu atau bapa dikesan menghidap penyakit itu, risiko anak-anak yang menghidap penyakit ini adalah 50 peratus.

Beliau berkata walaupun peratusan penghidap penyakit ini adalah kecil, orang ramai digalakkan menjalani pemeriksaan di klinik ataupun hospital berdekatandengan memberi sampel darah untuk mengesan penyakit genetik itu - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan