Khamis, 26 Julai 2012

Gempa: Gegaran Turut Dirasai Di P. Pinang

GEORGE TOWN: Gempa bumi yang menggegarkan Simeulue, Sumatera Utara, Indonesia pagi semalam turut dirasai penduduk di negeri ini.

Tinjauan Bernama mendapati penduduk terutama yang tinggal di pangsapuri, mengadu kediaman mereka bergegar selain mengalami rasa pening.

Manisah Hamid dari flat Taman Bukit Jambul berkata gegaran dirasai selama beberapa saat.

“Saya rasa pening dan lantai rumah macam bergegar tetapi sekejap sahaja,” katanya yang tinggal di tingkat 12 flat tersebut, kepada Bernama.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan di sini, berkata jabatan tersebut menerima tiga laporan gegaran daripada penduduk yang tinggal di Butterworth dan sekitar George Town.

Jabatan itu melaporkan gempa dengan kekuatan 6.6 pada skala Richter menggegarkan Simeulue pada jam 8.27 pagi waktu Malaysia dan pusat gempa terletak 25km dari tenggara Simeulue dan 547 km dari barat daya Lumut, Perak - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan