Khamis, 26 Julai 2012

Jangan Parkir Kenderaan Berat Sembarangan

MIRI: Pengguna kenderaan berat terutama lori dan treler tidak harus meletakkan kenderaan mereka di tempat yang boleh mendatangkan kerosakan kepada kemudahan awam.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai berkata, ada antara parit dan jalan raya yang rosak teruk akibat kenderaan berat parkir di tempat yang tidak sesuai.

“Kenderaan berat (lori dan treler) tidak seharusnya diletakkan di kawasan yang boleh merosakkan kemudahan awam seperti parit di kawasan premis kedai terletak di Jalan Camwood, Riam,” katanya ketika lawatan rutinnya ke kawasan berkenaan semalam.

Menurutnya, kenderaan jenis itu tidak sepatutnya diparkir di kawasan berkenaan dan hanya dibenarkan parkir di kawasan perindustrian sahaja.

Perkara tersebut kata Lawrence mendapat perhatian pihak majlis kerana ia melibatkan harta benda dan kemudahan awam.

Untuk itu, pihaknya bakal mengeluarkan saman ke atas syarikat yang mempunyai kenderaan berat terbabit serta mengarahkan mereka untuk membaikinya.

Pada masa sama, beliau turut menegur segelintir penduduk di Jalan Camwood yang membuang sampah secara sembarangan.

“Kami sudah sediakan tong sampah, namun sedihnya kemudahan ini tidak digunakan dan ada yang masih membuang sampah bukan di tempat yang betul,” kata Lawrence - Utusan Borneo


Tiada ulasan:

Catat Ulasan