Khamis, 26 Julai 2012

Kerani Penipu Didenda Dan Dipenjara

Mohd. Fauzy meninggalkan Mahkamah Sesyen Melaka semalam 

MELAKA: Gara-gara membuat lapan tuntutan palsu berjumlah RM270,650, seorang penjawat awam sebuah jabatan kerajaan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan denda RM1.35 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohd. Fauzy Mohd. Yusuf, 41, dari Taman Kelemak Jaya, Alor Gajah selepas prosiding pada akhir kes pembelaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut ketika memegang jawatan sebagai Pembantu Tadbir Kewangan di Jabatan Perkhidmatan Haiwan Melaka (kini Jabatan Perkhidmatan Veterinar Melaka) antara 9 November hingga 30 November 1999.

Lapan pertuduhan itu meliputi tuntutan palsu membabitkan dokumen pesanan kerajaan, inden (pesanan pembelian barang secara rasmi) dan invois dengan jumlah tuntutan tertinggi bernilai RM49,800 dan paling rendah RM9,250.

Semua tuntutan itu didakwa dilakukan bagi kerja-kerja pembangunan projek tenusu di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) di Merlimau, Jasin dan Masjid Tanah.

Antaranya bagi pembelian benih rumput, kerja membina travis berbumbung lembu susu, pembinaan kandang lembu susu, pembangunan infrastruktur di kawasan padang ragut dan projek tenusu PPRT.

Bagi semua pertuduhan itu, Mohd. Fauzy didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi. Terdahulu selepas hukuman dijatuhkan, tertuduh kelihatan tenang menerima keputusan mahkamah tersebut.

Elesabet memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 12 bulan bagi setiap pertuduhan dan berdepan hukuman penjara lima tahun lagi sekiranya dia gagal membayar denda yang dikenakan RM1.35 juta.

Tertuduh bagaimanapun bernasib baik apabila hakim memerintahkan hukuman penjara bagi kelapan-lapan pertuduhan itu berjalan serentak bermula semalam.

Peguam yang mewakili tertuduh, Azrul Zulkifli Stork memohon hukuman penjara dan denda ke atas anak guamnya ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Namun Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Roziza Sidek yang mengendalikan kes membantah permohonan itu.

“Sekiranya penangguhan dibenarkan saya pohon jumlah jaminan RM10,000 yang sedia ada ditambah,” kata beliau.

Elesabet yang mendengar permohonan kedua-dua belah pihak kemudian membenarkan hukuman itu ditangguhkan dengan syarat notis rayuan difailkan semalam. Jaminan dinaikkan kepada RM12,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh membayar jaminan itu.

Dalam perbicaraan yang berlangsung selama setahun bermula tahun 2009 itu seramai 30 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberikan keterangan sepanjang perbicaraan tersebut - Kosmo


Tiada ulasan:

Catat Ulasan