Rabu, 5 Disember 2012

Disamun Di Jalan Persisir Pantai Miri


MIRI: Seorang lelaki kerugian RM3,000 setelah disamun sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjata dalam kejadian yang berlaku di Jalan Persisir Pantai, di sini awal pagi semalam.

Menurut sumber, semasa kejadian yang berlaku sekitar jam 6 pagi, mangsa yang berusia lingkungan 20-an sedang memandu seorang diri dengan menaiki kenderaan jenis Mitsubishi Triton dalam perjalanan dari Miri menuju ke Bintulu.

Setiba di satu lokasi di Jalan Persisir Pantai, mangsa terpaksa memberhentikan kenderaannya untuk mengalihkan ranting-ranting pokok yang berserakan di atas jalan raya bagi membolehkan kenderaannya melalui jalan berkenaan.

Semasa keluar dari kenderaannya untuk mengalihkan ranting-ranting berkenaan, tiba-tiba mangsa telah didatangi sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjata pisau.

Perompak terbabit telah mengarahkan mangsa untuk menyerahkan dompet serta telefon bimbitnya sebelum melarikan diri.

Mangsa yang ketakutan terpaksa menurut arahan perompak terbabit dan akibat insiden samun itu, mangsa telah mengalami kerugian berjumlah RM3,000.

Berikutan itu, mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri di sini beberapa jam selepas kejadian.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan